NILAI – Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melantik barisan jawatankuasa baharu bagi sesi 2026-2027 menerusi program ASCEND 2026-2027 bagi memastikan kesinambungan hala tuju organisasi serta memperkukuh pelaksanaan inisiatif komunikasi strategik di peringkat universiti.

Peralihan kepimpinan yang menyaksikan Muhammad Hazim Rosli dilantik sebagai Presiden StraComm Clique sesi 2026-2027 menggantikan Ahmad Idham Jumaat itu bertujuan memupuk semangat berpasukan yang progresif serta mengukuhkan komitmen ahli dan pegawai kelab selepas mencatatkan pelbagai kejayaan sepanjang sesi 2025-2026.

Presiden StraComm Clique sesi 2026-2027, Muhammad Hazim Rosli berkata, pelantikan tersebut merupakan satu amanah besar yang digalas bersama barisan kepimpinan baharu untuk terus memacu kecemerlangan badan pelajar berkenaan.

“Saya berasa amat gembira dan bangga diberikan peluang memimpin badan pelajar ini, selain menganggap pelantikan ini sebagai amanah besar daripada ahli dan pegawai untuk membawa StraComm Clique ke tahap lebih gemilang,” katanya.

Beliau turut menyeru mahasiswa agar bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum dan persatuan bagi mengasah bakat serta menyerlahkan potensi kemahiran insaniah, di samping mengekalkan komitmen tinggi dan menghargai sokongan pegawai kelab yang menjadi tulang belakang organisasi.

Terdahulu, sepanjang kepimpinan sesi 2025-2026 di bawah teraju Ahmad Idham Jumaat, StraComm Clique berjaya menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi termasuk siri seminar SC MasterClass yang dibuka kepada umum bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang media serta komunikasi.

Kelab berkenaan turut menjayakan Malam Tayangan FIKRA 2026 yang menampilkan pertandingan filem pendek dan pesanan khidmat masyarakat, penganjuran Tariq Run 2026, Kalam NC 2.0, selain terlibat secara langsung membantu kelancaran Majlis Konvokesyen USIM kali ke-24.

Dari sudut pencapaian, produksi di bawah kendalian StraComm Clique mencipta kecemerlangan dalam pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 apabila merangkul pingat emas, gelaran naib juara kategori filem pendek bersama hadiah wang tunai RM3,000 serta Anugerah Pilihan Penonton bernilai RM1,000.

Selain itu, kelab tersebut turut melakar pengiktirafan menerusi kemenangan IPRMSA Excellence Award 2026 oleh mantan Presiden StraComm Clique sesi 2023-2025, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini sebagai mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi.

Melalui barisan kepimpinan baharu ini, StraComm Clique menyasarkan pencapaian tahunan yang lebih cemerlang serta terus berperanan sebagai platform utama pembangunan bakat mahasiswa USIM dalam bidang media dan komunikasi strategik.

 

Oleh: Emir El-Abqariy Kamarul Azmi, Ain Batrisyia Arrahimi Rahizad