KUALA PILAH, 23 FEB 2015 – Memupuk semangat cintakan hutan dan alam sekitar, seramai 42 pelajar Unit Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P), bersama staf Pusat Kesihatan Universiti dan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan meneroka kawasan Hutan Lipur Batu Maloi di yang terletak kira- kira 8 km dari Pekan Johol melalui Jalan Tampin-Kuala Pilah. Hutan Lipur Batu Maloi  ini terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tampin yang merupakan jenis hutan Dipterokarpa Pamah.

Program julung kali anjuran Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan ini merupakan Program Kesihatan bagi skop Kecergasan buat kali  kedua yang diadakan selepas program di Bukit Fraser tahun lepas.

Objektif penganjurannya adalah bagi meningkatkan pembangunan kendiri dan keperibadian pelajar, selain memberi kesedaran kepentingan menjaga hutan dan alam sekitar dan mendidik sikap tolong menolong dan saling bekerjasama dalam satu pasukan.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Ahmad Fadzil bin Abdul Majid, program ini diadakan bersempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun. ”Program seumpama ini bukan sahaja memupuk kesedaran dan kecintaan kepada hutan dan alam sekitar, malah para pelajar dan pengunjung dapat menguji stamina dan kecerdasan meneroka Gua Batu Maloi yang panjang laluannya 2.38km”.

”Selain itu, aktiviti seperti ini dapat menzahirkan pentingnya kita menjaga hutan semulajadi dari sebarang pencemaran dan pencerobohan dengan melakukan aktiviti seperti penanaman pokok dan sebagainya”, tambah beliau.

Beliau yang turut serta menerokai gua batu maloi bersama para peserta turut merasakan kepuasan dan mencapai sasaran objektif kerana pelbagai cabaran yang dihadapi semasa di dalam gua batu maloi itu seperti, laluan sempit, memanjat dinding gua, dan terpaksa melalui kawasan kolam. Namun berjaya harungi dengan semangat bekerjasama antara satu sama lain dan menyemai sikap prihatin sesama peserta.

Salah seorang peserta, Mohamad Mahfidz Muzarin pelajar tahun 3 Fakulti Ekonomi dan Muamalat melahirkan rasa gembira dan teruja kerana dapat menyertai program ini. ”Sambil menikmati keindahan flora dan fauna ia turut memupuk semangat kerjasama yang baik dan merapatkan hubungan sesama ahli”, jelas Mahfidz.

Sebelum ini, beliau pernah mengikuti program bersama Pusat Kesihatan Universiti antaranya program Basic Life Support (BLS) iaitu kursus rawatan kecemasan di Kendong Village Resort, Rembau.

Aktiviti bermula pada jam 10 pagi dan berakhir pada jam 4 petang. Sebelum memasuki hutan, para peserta melakukan senaman ringan sebagai ’warm up’ untuk memulakan aktiviti penerokaan hutan yang mengambil masa kira-kira 3 1/2  jam. Turut serta dari USIM adalah Pengarah Pusat Kesihatan Universiti USIM Dr. Nik Shafikuddin Nik Taujuddin dan beberapa kakitangan Pusat kesihatan universiti.

Selain itu, sempena program ini pihak Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan turut melancarkan majlis penyerahan kunci bangunan surau yang baru siap dibina dan simbolik tanaman pokok dari spesis kapur dan merawan.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204