NILAI, 9 Mac 2014 – Kejohanan Debat Piala Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memasuki edisi Ke-7 penganjurannya pada tahun ini menyaksikan Pusat Tamhidi dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan membawa pulang Piala Pusingan Naib Canselor.
Kejohanan Debat Piala Naib Canselor anjuran Kelab Debat USIM dengan kerjasama Unit Kepimpinan Bahagian Hal Ehwal Pelajar berlangsung pada 7 hingga 9 Mac lalu bertempat di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) diadakan dalam tiga kategori bahasa iaitu Bahasa Melayu (18 pasukan) , Bahasa Inggeris (17 pasukan) dan Bahasa Arab (17 pasukan).
“Kejohanan ini merupakan salah satu platform atau medium bagi pihak universiti untuk mencari pelapis-pelapis pendebat generasi baharu yang lebih berwibawa serta melahirkan lebih ramai pendebat berbakat dan dapat menaikkan nama USIM”.
“Melaluinya juga, institusi pengajian kita tidak ketandusan legasi pendebat terbilang dalam meneruskan kecemerlangannya mengharumkan nama Universiti di peringkat domestik dan antarabangsa” ucap YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor dalam ucapan perasmian Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2014.
Majlis kemuncak Kejohanan Debat Naib Canselor ini adalah Pertandingan Akhir Debat Bahasa Melayu yang menemukan pendebat dari Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) selaku Kerajaan dan Pusat Tamhidi selaku Pembangkang memperdebatkan usul “Media Sosial Wajar Disekat” berlangsung meriah di Dewan Kuliah Pusat 3.
Kepetahan dan hujahan bernas para pendebat muda Pusat Tamhidi menobatkan mereka sebagai Johan bagi Kategori Bahasa Melayu dan FSU sebagai Naib Johan. Bagi kategori Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) muncul Johan menewaskan pendebat dari FSU manakala Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) mengungguli kategori Bahasa Inggeris menewaskan Pusat Tamhidi.
Pembaharuan yang diperkenalkan dalam penganjuran kali ini adalah pemberian hadiah wang tunai kepada para pemenang dengan Johan dan Naib Johan bagi setiap kategori menerima wang tunai RM 500 dan RM 300 bersama Sijil Penghargaan manakala Pendebat Terbaik menerima wang tunai RM 50.
Selain muncul Johan Debat Bahasa Melayu dan Naib Johan Debat Bahasa Inggeris, Saudara Ikmal Jamaluddin turut dipilih sebagai Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir Debat Bahasa Melayu. Penyertaan kali pertama bekas pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) memberi pengalaman yang sungguh bermakna dan beliau berazam meningkatkan kemahiran perdebatan untuk dipilih mewakili Universiti selepas ini.
Pertandingan akhir ini telah disaksikan oleh, turut disaksikan oleh Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan para pelajar USIM.
Disedikan oleh :
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar StraComm