Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanTimbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Meriah di corong radio memainkan lagu Tanggal 31 Ogos dendangan Allahyarham Sudirman Hj Arshad serta lagu-lagu lain seumpamanya apabila menjelang Hari Kebangsaan. Memandang ke pejabat kerajaan, premis perniagaan dan tiang-tiang lampu di jalanan meriah digantung Jalur Gemilang. Menyelak helaian surat khabar dan menonton berita dipaparkan pula pengkongsian kisah-kisah dari mereka yang pernah berjuang mempertahankan maruah kedaulatan negara.

Ini semua merupakan sebahagian daripada ‘rutin’ tahunan yang kita lihat apabila negara berada dalam Sambutan Bulan Kebangsaan bagi meraikan dua hari penting pembentukan negara iaitu Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September. Pengisian seperti ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyemarakkan rasa kecintaan rakyat Malaysia kepada watan bertuah ini serta menjentik jiwa-jiwa kita untuk menginsafi dan menghayati makna besar kemerdekaan yang dikecapi negara sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini yang dipilih menjadi lokasi sambutan meraikan tarikh bersejarah pembentukan Malaysia secara tersurat menoktahkah di atas kertas bahawa Bulan Kebangsaan yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melabuhkan tirainya. Walaupun sambutan Bulan Kebangsaan telah berakhir ia tidak seharusnya turut menguburkan dan menghentikan sebarang usaha untuk terus memupuk semangat patriotisme kepada masyarakat kita khususnya generasi muda.

Menyuburkan patriotisme tidak seharusnya menjadi aktiviti yang bermusim kerana kita mahukan rakyat Malayia sentiasa cintakan negara sepanjang masa. Seorang bekas ahli politik Amerika Syarikat, Adlai Stevenson mengungkapkan “Patriotisme bukan cetusan pendek dan penuh emosi tetapi dedikasi yang tenang dan mantap seumur hidup”.

Adalah dangkal jika ada yang berpandangan penyuburan patriotisme pada generasi muda terletak sepenuhnya di atas pundak Kerajaan semata-mata. Ia adalah tanggungjawab semua pihak untuk digalas bersama seperti badan korporat, pemimpin masyarakat, pendidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan yang paling dekat adalah institusi keluarga.

Sebagai seorang pentadbir di universiti, generasi muda khususnya yang berada di institusi pendidikan tinggi telah diberi pendedahan dan didikan untuk menjadi warganegara Malaysia yang cintakan negara melalui pelbagai program yang terdapat di institusi pengajian mereka yang tidak terbatas dalam Bulan Kebangsaan sahaja. Di universiti misalnya di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, fakulti mahupun kolej kediaman banyak menganjurkan pelbagai program berbentuk kesukarelawan dan khidmat komuniti seperti menyantuni warga emas, anak yatim, orang yang susah, penduduk kampung dan seumpamanya.

Program sebegini akan menjadikan siswa-siswi kita menyelami realiti sebenar kehidupan masyarakat yang pelbagai rencah dan warna, kelak apabila menjadi pemimpin, mereka akan menjadi pemimpin yang menjiwai keluh-kesah rakyat dan membela rakyat, ini juga adalah unsur-unsur kepada patriotisme.

Sudah tersohor seantero dunia, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan warna kulit telah melengkapi di antara satu sama lain dan kepelbagaian ini tidak menjadi halangan untuk menjalani kehidupan yang harmoni. Meraikan kepelbagaian agama, adat resam dan budaya pelbagai kaum adalah nilai patriotisme dan ia sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Bagi memastikan patriotisme sentiasa segar dalam jiwa anak muda, berikan pendedahan yang berkesan untuk mereka sentiasa mengamalkan lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Pada masa yang sama mereka  sentiasa diminta berfikir dan mencari jalan untuk berbakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing

Merenung jauh ke hadapan, apabila semakin bertambah usia negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan di tahun-tahun mendatang bermakna pada waktu itu kita juga semakin kita kehilangan pencerita kisah-kisah kemerdekaan negara. Ini kerana insan-insan yang berjuang bermandikan keringat dan darah serta mempertaruhkan nyawa dihujung senapang musuh ini sudah tiada lagi di dunia untuk bercerita dan berkongsi pengalaman mereka yang amat berharga tersebut.

Penulis merasakan bahawa kisah-kisah dari veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melalui zaman sebelum dan awal kemerdekaan inilah yang generasi semasa dan hadapan perlu dengar dan hayati kerana darinya akan terbit rasa keinsafan dan kecintaan pada negara.

Penulis mencadangkan untuk agensi Kerajaan yang bersesuaian untuk mula mengumpulkan dan membukukan kisah-kisah dari veteran ATM dan PDRM sebanyak yang mungkin dan kemudiaannya diedarkan di seluruh perpustakaan sekolah, awam dan institusi pendidikan tinggi. Tujuan murninya agar ia boleh menjadi bahan bacaan rujukan yang bermanfaat untuk membugar patriotisme sepanjang masa tanpa menunggu Bulan Kebangsaan menjelma.