NILAI, 15 Januari 2023 – Fakulti Pengajian Bahasa Utama rangkul Johan pada pertandingan MAWAHIB Piala Naib Canselor 2022 atau dikenali sebagai USIM’s Got Talent bertempat di Dewan Kuliah Pusat 4. Manakala Naib Johan dan Tempat Ketiga dimenangi oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM). Tempat keempat pula disandang oleh Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Pemenang membawa pulang wang tunai dan sijil penyertaan.
Menurut Muhammad Al-Fateh Bin Mohd Hatta Pengerusi Nadi Thaqafah berkata, sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan daripada 50 peserta dari pelbagai fakulti.
“Program dibawah anjuran Nadi Thaqafah Fakulti Pengajian Bahasa Utama ini adalah bertujuan untuk memperkasakan bahasa Arab dan bahasa Inggeris melalui bakat dan kreativiti pelajar disamping untuk mencungkil bakat seni dalam membina keyakinan dan personaliti yang menarik melalui bakat yang mampu memberi inspirasi dan memberi impak positif kepada masyarakat umum. Selain itu, melalui penganjuran program ini, ia dilihat mampu memberi peluang persaingan sihat dalam kalangan mahasiswa untuk mempamerkan bakat seni mereka melalui kemahiran komunikasi dengan menggunakan bahasa Arab dan bahasa Inggeris”.
Ujarnya lagi, MAWAHIB kali ini diberi nafas baru iaitu penyertaan terbuka kepada semua fakulti di USIM untuk pencarian bakat-bakat muda yang berkebolehan dan berpotensi untuk mewakili universiti ke peringkat antarabangsa kelak.
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disampaikan oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Ts. Sharifudin Md Shaarani. Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Dekan FPBU Prof. Madya Dr. Zainur Rijal Abdul Razak.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan