NILAI, 16 Mac 2023 – Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik yang melanda sebelum ini dilihat telah menyumbang kepada kesukaran dan keupayaan graduan mendapat tempat dalam bidang pekerjaan. Isu ini tidak wajar dipandang ringan memandangkan ia melibatkan masa depan dan hala tuju pembangunan modal insan negara.
Justeru, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bergerak proaktif dengan menjalin kerjasama pintar bersama Human Resources Development Fund (HRDF) bagi membantu meningkatkan kualiti graduan yang memenuhi keperluan industri dan tenaga guna negara. Kolaborasi ini merupakan hala tuju strategik meliputi bidang utama melibatkan kemahiran soft skill yang bakal memberikan impak keuntungan jangka panjang terutamanya dalam membangunkan sumber tenaga kerja yang mahir, berpengetahuan serta kompetitif dalam persekitaran perhubungan perusahaan di peringkat industri melibatkan graduan dari USIM.
Seramai 50 graduan telah berjaya dilahirkan hasil dari kolaborasi ini di mana mereka mempunyai sijil professional sebagai Jurulatih Profesional yang diperakui atau di akreditasi oleh HRD Corp melalui program Train-The-Trainer (TTT) Certification Program.
Menurut Prof.Madya Dr. Abdul Rahim Zumrah selaku ketua projek berkata, program ini menghasilkan kumpulan profesional jurulatih dalam kalangan graduan yang kompeten dan mahir.
“Hasilnya, kebolehpasaran graduan dapat ditingkatkan melalui kemahiran ‘soft skill’ sebagai perunding (konsultan)/jurulatih/fasilitator/penceramah yang profesional dan diiktiraf oleh pengamal industri di sektor awam dan swasta. Pihak kerajaan, melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga telah mengambil langkah proaktif dan wajar dengan menyediakan pelbagai inisiatif sokongan kepada graduan terlibat melalui program dan geran untuk menjalankan program sijil professional memfokuskan kepada latihan dan perantisan untuk meningkatkan kebolehpasaran”.
Ujarnya lagi, ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh akan menjadi nilai tambah dalam usaha graduan mencari ruang membina karier masing-masing di samping terlibat dalam ekosistem yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat. Program Train-The-Trainer (TTT) Certification Program ini juga melayakkan graduan memohon pekerjaan di syarikat perundingan yang berdaftar dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Kini, graduan harus peka bahawa majikan bukan hanya mencari kemahiran teknikal semata-mata tetapi turut mencari kualiti lain melebihi kelayakan akademik. Sehubungan itu, kemahiran utama yang berkaitan dengan fungsi pekerjaan, para graduan perlu bersiap siaga melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah tertentu seperti kemahiran pengurusan masa dan organisasi, kemahiran komunikasi lisan dan bertulis serta keupayaan bekerja dalam pasukan dengan baik untuk kekal relevan dalam arena pekerjaan semasa.
sumber: FEM
Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan