Karnival Sukan MASUM Fasa 1 rasmi membuka tirainya dalam satu majlis gilang gemilang bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini.

Sukan MASUM kali ini akan di jadikan medan pemilihan terakhir sebelum penyertaan dalam SIPMA atau Sukan Institusi Pendidikan Malaysia yang akan diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 16 hingga 20 September akan datang.

Dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Karnival Sukan MASUM Fasa 1 ini menghimpunkan seramai 2200 orang atlet dan pegawai pengiring daripada 20 Universiti Awam.

Sebanyak 59 pingat emas ditawarkan melalui lapan acara iaitu bola keranjang, lawn bowls, bola tampar, bola baling, memanah, taekwondo, sofbol serta menembak, melibatkan beberapa venue antaranya di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Gelanggang Serbaguna UNITEN, Lapang Sasar Menembak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Gelanggang Lawn Bowls Seremban 2.

Perasmian pembukaan yang dimulakan dengan perbarisan masuk kontinjen yang mengambil bahagian dan pasukan sukarelawan turut dimeriahkan dengan gimik perasmian diikuti oleh upacara menaikkan bendera MASUM, bacaan lafaz Ikrar atlet dan pegawai kejohanan, serta diserikan oleh persembahan kebudayaan yang dibawakan khas oleh Pusat Kebudayaan USIM.

Turut hadir di majlis perasmian Karnival Sukan MASUM Fasa 1 ini adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor. Dr. Azlinda Azman, Pengerusi MASUM, Profesor Ts. Dr.Mohd Rusllim Mohamed yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) serta pengurusan tertinggi KPT dan Universiti Awam (UA).

Fasa 1 Karnival MASUM 2023 bermula dari 15 hingga 20 Ogos 2023 dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai tuan rumah, diikuti dengan Fasa 2 yang akan berlangsung pada 23 hingga 30 Ogos di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka (UTeM).

 

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan