KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) telah memperbaharui Memorandum Perjanjian (MoA) pada 30 September 2024 dengan menyambung jalinan kerjasama untuk penawaran program Certified Professional Shariah Auditor (CPSA) di Bangunan AICB Jalan Dato Onn Kuala Lumpur.
USIM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dengan disaksikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah. Manakala IBFIM diwakili oleh Tuan Yusry Yusoff Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM dengan disaksikan oleh Puan Nuraini Hamid Pengarah Pembangunan dan Kerjasama Strategik.
Sehingga September 2024, program CPSA telah menghasilkan seramai 260 graduan yang terdiri daripada peserta dari kalangan pelajar tahun akhir universiti awam Malaysia, institusi kewangan Islam, firma pengauditan serta peserta dari luar negara.
CPSA menawarkan 6 modul terdiri dari 3 peringkat pembelajaran. Peringkat asas melibatkan Fundamentals of Shariah for Islamic Finance dan Fundamentals of Governance & Auditing manakala peringkat pertengahan melibatkan modul Accounting & Reporting for Islamic Financial Transactions dan Shariah Risk Management & Internal Control. Di peringkat advanced pula mengandungi modul Shariah Audit Planning & Programme dan Shariah Audit Fieldwork & Communication.
Program CPSA juga telah diiktiraf oleh Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) di mana modul-modul CPSA diberikan pengecualian bagi pensijilan ASAS. Selain dari itu, program CPSA juga diluluskan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera di bawah pelan Program Pembiayaan Pensijilan Profesional. Menerusi pelan ini, tajaan akan diberikan kepada calon-calon Bumiputera berkelayakan untuk menyertai program CPSA.
Pada Majlis Konvokesyen ke-20 USIM pada 13-16 Disember 2022, USIM telah menganugerahkan IBFIM dengan Anugerah Khas Rakan Industri (Kategori Tempatan). Manakala pada 25 Febuari 2023, IBFIM pula telah menganugerahkan USIM dengan anugerah IBFIM Outstanding Industry Collaboration Award (IOIC) 2023. Kedua-dua anugerah ini adalah simbolik kepada kerjasama erat antara USIM dan IBFIM dalam penawaran program CPSA yang menjadi peneraju kepada penyediaan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran di bidang audit Syariah bagi memenuhi aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia hub kewangan Islam.
Pada 10 Julai 2024 yang lepas, bagi mengeratkan lagi jalinan universiti-industri, Tuan Yusry Yusoff Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM turut dilantik sebagai CEO@Faculty Programme USIM bagi tahun 2024 sehingga 2026.
Kerjasama universiti-industri ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang telah menggariskan Lonjakan 7: Ekosistem Inovasi di mana universiti berperanan dalam membantu pemindahan dan penyebaran ilmu yang dihasilkan di dalam universiti agar dapat diketengahkan melalui penglibatan pelbagai pihak khususnya industri.
Melihat kepada perkembangan pesat industri kewangan Islam yang tidak terbatas hanya kepada perbankan, takaful dan pasaran modal Islam dan turut merangkumi syarikat patuh Syariah, koperasi yang menjalankan perniagaan patuh Syariah, Majlis Agama Islam Negeri, pusat-pusat zakat dan wakaf dan entiti yang menguruskan dana awam seperti Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad, kandungan program CPSA diharap dapat memenuhi keperluan Audit Syariah di sektor ini juga.
Pihak IBFIM turut berkongsi Kerangka Kemahiran Masa Hadapan untuk Sektor Kewangan (Future Skills Framework for Malaysian Financial Sector atau FSF) yang dilancarkan pada 22 Julai 2024, telah mengenal pasti audit syariah adalah satu skil yang bukan sahaja terpakai di dalam industri kewangan Islam secara khusus, tetapi kepada industri kewangan secara menyeluruh di Malaysia. Dari 159 peranan pekerjaan yang dikenal pasti dalam kerangka ini, sebanyak 67% atau 106 peranan pekerjaan memerlukan kemahiran berkaitan dengan Syariah. Ada 5 kemahiran Syariah yang telah dikenal pasti, iaitu, Audit Syariah, Penyelidikan Syariah, Pengurusan Aset Islam, Pematuhan Syariah dan Pengurusan Risiko Syariah.
FSF adalah inisiatif bersama IBFIM, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Asian Insurance Institute (AII) dan disokong oleh Bank Negara Malaysia untuk memastikan sektor kewangan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global. Ia juga bertujuan untuk melengkapkan tenaga kerja dalam sektor kewangan dengan kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi perubahan landskap teknologi dan ekonomi.
Lantaran itu, kedua-dua pihak USIM dan IBFIM berharap jalinan kerjasama ini dapat memberi impak besar dalam menyediakan modal insan berdaya saing dalam industri kewangan Islam di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.