NILAI – Seramai lebih 180 peserta telah menghadiri Seminar Antarabangsa Falsafah, Tamadun, Etika dan Turath Islami (i-STET) 2024 di bawah anjuran Pusat Pengajian Teras (PPT) dengan kerjasama Institut Sains Islam (ISI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung pada 15 hingga 16 Oktober 2024 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Ismail Haji Lasim, Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan.
YB Dato’ Haji Ismail Haji Lasim dalam ucapan perasmiannya menzahirkan ucapan tahniah dan menyifatkan penganjuran seminar ini menunjukkan komitmen USIM sebagai institusi pengajian tinggi dalam memelihara dan mempromosikan khazanah falsafah dan turath Islami, termasuklah memperkenalkan adat Pepatih kepada masyarakat umum dan dunia akademik. Ini adalah satu usaha yang amat bermakna dalam memartabatkan warisan budaya dan tamadun kita.
Siri seminar yang diadakan dua tahun sekali, pada kali ini membawa tema “Melestari Turath, Memartabat Falsafah, Memacu Peradaban dan Menyelami Budaya”. i-STET memberi peluang pembentangan dan perkongsian ilmu terutama yang berteraskan disiplin sains sosial serta bidang berkaitan seperti falsafah, etika, kemanusiaan, turath, agama, sains Islam, bahasa, psikologi, politik, sosiologi dan antropologi, sejarah dan peradaban, etnik & budaya, media & komunikasi serta bidang-bidang lain yang berkaitan.
Seminar ini juga turut memberi peluang penyertaan pembentang daripada bidang Sosial Sains merangkumi perbahasan di dalam hal ehwal Pengajian Islam, Agama, Sejarah, Tamadun, Budaya, Etnik, Politik, Ekonomi, Bahasa dan Komunikasi, Sains dan Teknologi, dan lain-lain.
Seminar ini telah mendapat penyertaan daripada ahli akademik, pemain industri dan juga para pelajar universiti dari dalam serta luar negara. Selain itu, pihak USIM turut menjemput tokoh-tokoh sarjana dari Malaysia, Indonesia dan Brunei untuk menyampaikan ucaptama (Keynote Speaker) serta berkongsi ilmu dalam forum yang berkaitan dengan Adat Perpatih.
Secara keseluruhannya, seminar ini diharapkan mampu menyemarakkan budaya perkongsian dan penerokaan ilmu melalui sesi pembentangan kertas kerja berkaitan oleh para pembentang dari dalam dan luar USIM, sekaligus berusaha ke arah mencapai objektif pendidikan bersepadu di dalam membina potensi masyarakat pelbagai budaya untuk menerajui pembangunan negara.
Turut hadir sama pada majlis yang sama ialah Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan bin Othman Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Prof. Madya Dr. Anis Malik Thoha Dekan Fakulti Pembangunan Pengurusan Islam Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSSA), Brunei dan Prof. Dr. Ir. Hjh. Puti Reno Raudhatul Jannah Thaib, M.P. Yang Dipertuan Gadih Pagaruyung\Ketua Perkumpulan Bundo Kanduang Minangkabau Padang, Sumatera Barat.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani