NILAI – Tekad dan semangat kental menjadi inspirasi kepada semua apabila Nurul Iffah Alias, 23, pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Media Baharu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) walaupun berdepan dengan cabaran kesihatan yang serius.

Iffah, yang disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE), iaitu sejenis penyakit auto-imun yang menyerang darah dan sendi, mengimbau kembali detik-detik sukar yang dilaluinya sejak Ogos 2023.

“Sejak Ogos tahun lalu, saya kerap mengalami demam berulang. Malah, ada masa saya langsung tidak mampu bergerak dan hanya terbaring. Pada November 2023, keadaan saya bertambah buruk sehingga perlu dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Walaupun menghadapi tekanan fizikal dan mental akibat penyakitnya, Iffah tetap bertekad untuk meneruskan pengajian demi merealisasikan impian untuk bergraduasi bersama rakan-rakan.

“Saya tidak mahu menangguhkan semester kerana saya mahu tamat pengajian bersama rakan-rakan. Bagi saya, menunda semester akan melambatkan perjalanan akademik saya,” jelasnya.

Ketika berada di hospital, Iffah menerima sokongan luar biasa daripada rakan-rakan yang setia membantunya menyiapkan tugasan dan memberikan tunjuk ajar bagi memastikan dia tidak ketinggalan.

“Selepas keluar hospital, mereka meluangkan masa untuk mengajar saya sehingga saya benar-benar memahami setiap topik pembelajaran. Tanpa mereka, saya mungkin tidak akan berjaya seperti sekarang,” katanya penuh syukur.

Kini, keadaan kesihatan Iffah semakin stabil, namun dia perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayatnya. Melangkah ke hadapan, Iffah bercita-cita untuk menceburi bidang pemasaran digital sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Kisah Iffah menjadi bukti bahawa kekuatan semangat mampu mengatasi cabaran besar, menjadikannya sumber inspirasi kepada seluruh warga USIM dan masyarakat umum.

 

Oleh: Nur Khadijah Antasha Abd Rashid