NILAI – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin melemahkan semangat bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi Li Hui Ling, 47 tahun, yang menjadikannya pemangkin untuk beliau menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains dan Teknologi di USIM.

Graduan Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini adalah antara 101 graduan yang diraikan di Majlis Konvokesyen USIM ke-22 4 Disember 2024.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini menamatkan pengajian Doktor Falsafah Sains dan Teknologi sepenuh masa dalam tempoh tiga tahun dengan sokongan padu rakan sekerja dan bimbingan pensyarah USIM.

Salah satu cabaran terbesar buat Li ialah subjek wajib Bahasa Arab, namun beliau berjaya mengatasinya dengan cemerlang.

“Bantuan pensyarah dan rakan kumpulan sangat membantu saya memahami Bahasa Arab,” katanya sambil menyifatkan peluang belajar bahasa tersebut sebagai pengalaman yang berlaku sekali seumur hidup.

Li yang merupakan Ketua Seksyen Bahan Rujukan, Bahagian Metrologi Kimia, Jabatan Kimia Malaysia ini mengambil cuti belajar untuk menyambung pengajiannya di peringkat PhD dan mendapat kebenaran khas untuk menggunakan data berkaitan dari jabatan tersebut dalam kajiannya, menjadikan perjalanan akademiknya lebih bermakna dan dipermudahkan.

Keunikan USIM sebagai universiti berteraskan Islam menjadi satu tarikan buat beliau. Sokongan yang diterima daripada pelajar antarabangsa dan rakan-rakan lain menjadikan pengalaman di USIM lebih bermakna.

Walaupun sudah berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Kimia Malaysia dan ibu kepada tiga anak, Li juga merupakan Pegawai Latihan Sambilan untuk terus berkongsi ilmu penyelidikan berdasarkan sistem pengurusan kualiti makmal dan ketidakpastian pengukuran melalui pendekatan kemometrik.

“Saya percaya perjalanan pembelajaran tidak akan pernah berakhir dan kita harus ambil peluang ini untuk menambah ilmu,” tambahnya.

 

 

Oleh: Siti Nurafiqah Azwan