NILAI, 20 Januari 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pasukan Promosi Program Akademik di Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) dan penglibatan fakulti untuk menyertai Karnival Pendidikan Kerjaya kepada para pelajar di Kolej Matrikulasi anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menghimpunkan lebih daripada 30 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk mengadakan pameran pendidikan dan menyampaikan taklimat kepada para pelajar Kolej Matrikulasi.

Menurut Pengarah PPKP, Prof Madya Dr Zainur Rijal Abdul Razak berkata Karnival Pendidikan Kerjaya ini menjadi landasan untuk para pelajar lepasan matrikulasi mendapatkan input dan maklumat mengenai Institusi Pengajian Tinggi untuk mereka menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda secara terus dengan pegawai yang hadir. Bagi USIM, karnival sebegini memberi peluang kepada USIM untuk mengenalpasti calon pelajar yang bersesuaian dan menepati syarat kemasukan ke USIM.

“Dengan berkunjung ke Kolej Matrikulasi tersebut sebenarnya memberi faedah kepada para pelajar untuk mendapatkan maklumat secara terus dan mendapatkan khidmat nasihat untuk memilih bidang pengajian yang sesuai dengan kelayakan akademik dan minat mereka. Ia sekaligus dapat meningkatkan jumlah kemasukan calon pelajar dari lepasan Kolej Matrikulasi ke USIM dengan lebih agresif untuk Sesi Akademik 2020/2021,” katanya lagi.

Oleh itu, dalam usaha untuk menarik minat lebih ramai pelajar lepasan Kolej Matrikulasi menyambung pengajian di USIM, kami turut mengedarkan soal selidik ringkas kepada pengunjung yang datang dan analisis tersebut akan diusulkan kepada pihak Pengurusan Universiti untuk penambahbaikan.

Karnival Pendidikan Kerjaya anjuran KPM ini adalah sambungan dari tahun 2019 yang melibatkan pameran dan taklimat di 14 buah Kolej Matrikulasi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada tahun ini, PPKP USIM meluaskan promosi dan publisiti kemasukan ke USIM dengan mengadakan pameran dan taklimat di enam buah Kolej Matrikulasi iaitu Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor (KMKJ) pada 9 Januari 2020, Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) pada 10 dan 11 Januari 2020, Kolej Matrikulasi Labuan (KML) pada 17 dan 18 Januari 2020, Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang (KMKPh) pada 30 Januari dan 1 Februari 2020, Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) pada 1 dan 2 Februari dan berakhir di Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt) pada 6 dan 7 Februari 2020. Karnival Pendidikan ini turut dibantu oleh petugas akademik yang dilantik dalam kalangan pensyarah dari pelbagai fakulti untuk menyampaikan taklimat dan memberi penerangan dengan lebih lengkap kepada pelajar.

Disediakan oleh :
Dr. Fauziah Hassan
Timbalan Pengarah
Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP)

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan