NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Al-Amien Prenduan (UNIA), Indonesia dalam satu majlis yang berlangsung di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM pada 3 April 2026 baru-baru ini.
Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd. Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa bersama Rektor UNIA, Dr. Muhtadi Abdul Mun’im. Turut hadir adalah barisan pengurusan tertinggi kedua-dua institusi serta delegasi akademik.
Menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa, kerjasama ini merupakan kesinambungan hubungan strategik yang telah terjalin sejak tahun 2018 melalui pemeteraian Surat Niat (LoI) bersama Institut Dirosat Islamiyah Al-Amien (IDIA) Prenduan. Beliau menyifatkan perkembangan UNIA sebagai sebuah universiti serta kejayaan pelaksanaan program mobiliti pelajar sebagai bukti kukuh keberkesanan kolaborasi ini.
“MoU ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak tinggi, khususnya dalam bidang bahasa, pendidikan serta penyelidikan yang memberi manfaat kepada pembangunan ummah,” katanya.
Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik termasuk pertukaran pelajar dan staf, pembangunan program akademik bersama, pelaksanaan penyelidikan kolaboratif serta perkongsian penerbitan dan harta intelek.
Kerjasama ini juga selari dengan aspirasi USIM dalam memperkasa integrasi ilmu Naqli dan Aqli, di samping memastikan pendidikan Islam terus relevan dan progresif dalam mendepani cabaran abad ke-21.
Majlis ini sekali gus menandakan satu lagi langkah signifikan dalam usaha USIM memperluas jaringan global serta memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

