BANGI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya dalam menyokong agenda pembangunan bakat negara melalui penyertaan dalam Majlis Peluncuran Program Skuad Agrikomoditi anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Sawit, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Bandar Baru Bangi, Selangor pada 7 Mei baru-baru ini.

Majlis yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I itu merupakan satu inisiatif strategik kerajaan dalam meningkatkan penglibatan mahasiswa, universiti awam dan generasi muda terhadap sektor agrikomoditi negara. Turut hadir ialah YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi.

Penyertaan USIM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti untuk menyokong dasar dan inisiatif kerajaan yang menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan sektor strategik negara. Program ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami ekosistem agrikomoditi secara lebih menyeluruh, termasuk aspek industri, inovasi, kelestarian, keusahawanan dan peluang kerjaya.

Turut diadakan sesi pertukaran dokumen kerjasama Letter of Intent (LoI) antara KPK dengan universiti awam sebagai simbolik kerjasama strategik dalam memperkukuh hubungan antara kementerian, agensi dan institusi pendidikan tinggi.

Kerjasama ini dilihat berpotensi menjadi platform penting dalam membina laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun, khususnya bagi mendedahkan mahasiswa kepada peranan sektor agrikomoditi sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Menurut Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, melalui penglibatan ini, USIM berupaya memainkan peranan lebih aktif dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah mempunyai kefahaman terhadap keperluan industri, dasar nasional dan cabaran pembangunan negara.

“Program Skuad Agrikomoditi turut selari dengan aspirasi pembangunan mahasiswa holistik yang memiliki kesedaran terhadap sektor ekonomi utama negara serta bersedia menyumbang kepada agenda keterangkuman, kelestarian dan pembangunan komuniti”.

“Penyertaan USIM dalam platform strategik ini sekali lagi menegaskan mandat universiti sebagai institusi ilmu yang responsif terhadap keperluan negara, di samping memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara universiti, kementerian dan industri demi pembangunan bakat masa hadapan”, katanya lagi.