NILAI, 19 Januari 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya menempatkan diri dengan 19 universiti lain dari seluruh dunia sebagai 20 peserta akhir ke Solar Decathlon Middle East (SDME) 2018 yang telah diumumkan secara rasmi oleh penganjur utama, Dubai Electricity and Water Authority (Dewa).
Projek ini bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta mendapat tajaan dari beberapa rakan industri luar.
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata jumlah tajaan itu sebagai permulaan baik untuk USIM sebagai peserta akhir pertandingan akhir yang disertai oleh 22 negara di Dubai, tahun depan.
Katanya, tajaan itu bukan hanya dalam bentuk kewangan, malah kepakaran, sistem dan juga bahan yang digunakan untuk menyiapkan rumah pintar itu.
“Universiti yang ingin bertanding di dalam SDME perlu mengemukakan cadangan model rumah pintar yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar dan FKAB USIM bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan model Rumah Mizan ini. Rumah ini juga perlu disesuaikan untuk menghadapi cabaran musim panas, habuk dan kelembapan yang tinggi di Dubai.”
“Pasukan Rumah Mizan mempunyai masa dua tahun untuk mereka bentuk dan membina rumah yang berciri lestari dan mampan ini. Setelah selesai, pasukan akan terlibat dalam sepuluh pertandingan yang berbeza, antaranya meliputi penilaian seni bina, kejuruteraan untuk kelestarian dan inovasi. Ia memberi cabaran dan pengalaman baharu kepada kami dalam menghasilkan sebuah rumah yang menepati konsep rumah tenaga bersih atau ‘clean energy’, ujar Ar Fadli Arabi, Penyelaras Fakulti Senibina, USIM yang pernah ditemu bual sebelum ini.
Pada majlis yang sama, turut dilancarkan buku bertajuk “PEMBINAAN RUMAH KEDIAMAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM” iaitu satu kajian saintifik yang memberi panduan mengenai pembinaan rumah kediaman menurut perspektif Islam dan teknologi kejuruteraan. Buku ini ialah hasil kerjasama pensyarah USIM dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dalam mengaplikasikan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam pembinaan rumah kediaman.
Buku ini membincangkan prinsip kediaman dalam Islam dan ciri-ciri seperti keselamatan, privasi, pencahayaan dan sebagainya. Penjelasan tentang aspek-aspek ini telah disenergikan di antara pandangan Islam melalui Quran dan Hadith dan pendekatan teknologi kejuruteraan. Hasil daripada integrasi ilmu Naqli dan Aqli, ia diterjemahkan di dalam buku yang boleh menjadi panduan dan rujukan untuk semua pihak khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam pembangunan dan pembinaan rumah kediaman tertutamanya di Malaysia dan seluruh dunia.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204