NILAI, 26 Januari 2017 – 10 orang kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima anugerah bersempena Hari Keputeraan Yang Ke-69 D.Y.M.M Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertempat di Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah.

YBhg. Prof. Dr. Zulkfile Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) antara yang menerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) dengan gelaran Dato’ selain pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) iaitu Prof. Dr. Wan Omar Abdullah.

Prof. Dr. Zulkiple, 52, telah mendapat pendidikan di Kolej Islam Klang dan kemudian menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan (1990) dan seterusnya menyambung pengajian di Universiti of Edinburgh, Scotland, dan mendapat ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Dakwah dan Media Islam (1996).

Di USIM, beliau diamanahkan beberapa tanggungjawab iaitu sebagai Ahli lembaga Pengarah Universiti (2012-2015), Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (2012-2015), Ketua Kluster Penyelidikan (Jawhar’Ulum Islamiyyah and Ummah Development) dan Ketua Editor Jurnal ‘Ulum Islamiyyah. Beliau juga dilantik sebagai Profesor Pelawat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau sebelum itu pernah berkhidmat selama 19 tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (1990-2009) dan pernah menyandang Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan (1997-2003) dan Felo Kanan di Institut Islam Hadhari, UKM.

Selain itu, beliau pernah menghasilkan 24 buah buku, 32 artikel jurnal di peringkat antarabangsa dan kebangsaan serta menghadiri lebih dari 170 konferen di dalam dan luar negara. Beliau turut menghasilkan seramai 21 pelajar Ph.D dan 8 pelajar master.

Dalam khidmat profesional, beliau turut terlibat sebagai Penilai Anugerah Akademik Negara (AAN), Penilai geran-geran penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ahli Panel Majlis Perunding Islam (MPI) dan Pengerusi Kluster Dasar Dakwah Negara. Beliau pernah menjadi moderator bagi Program Diskusi TV 1 (lebih 50 siri tahun 1999-2000) dan Persada Jurnal (2010) dan pernah dijemput menyampaikan syarahan di hadapan KDYMM Raja Isteri Pangiran Anak Saleha, Raja Isteri Negara Brunei Darussalam (August 24, 2016).

Pada tahun 2016, Dr. Zulkiple telah dianugerahkan Pingat Johan Mangku Negara (J.M.N.) oleh Yang Dipertuan Agong dan pernah menerima anugerah Biasiswa Diraja (1986) malah pernah mendapat pingat emas di 23th International Invention, Innovation and Technology Exhibition (iTEX 12), pingat perak di Expo Inovasi Islam (i-Inova) 2012 and pingat emas dalam pertandingan Research Poster Exhibition UKM 2005 dan 2006.

Sumbangan dan penglibatan aktif melayakkannya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2000, 2006 (UKM), Anugerah Pengajar Cemerlang Sains Sosial UKM 2002, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa 2013, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013, Anugerah Penyelidikan (Kategori Sains Sosial-Penyelidik Terbaik) 2013, dan Anugerah Libatsama Komuniti (Kategori Projek) 2013.

Prof. Dr. Wan Omar, 64, pula merupakan Ahli Senat USIM adalah pemegang Ijazah Doctor of Veterinary Medicine dalam bidang perubatan veterinar di Pakistan Agriculture University, Faisalabad. Beliau yang sebelum ini pernah berkhidmat di UKM dan UPM dalam bidang perubatan dan kesihatan awam kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa USIM berkaitan etika penyelidikan.

Beliau terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan berkaitan penjagaan kesihatan melalui kaedah Perubatan Komplimentari malah dilantik sebagai Penasihat Kebangsaan Majlis Perubatan Hemopati Malaysia dan Penasihat kepada Persatuan Pengamal-pengamal Perubatan Traditional Chinese Medicine di Negeri Sembilan. Beliau turut terlibat dalam pendidikan dan kebajikan kanak-kanak istimewa dan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti Autisme, Sindrome Down, Spastik, Celebral Palsy dan lain-lain.  Beliau juga menyandang jawatan sebagai Pengerusi Biro Pendidikan dan Kebajikan beberapa badan bukan kerajaan seperti National Autism Society of Malaysia dan Penghargaan Publikasi Ilmiah International. Selaku Pengarah Projek, beliau terlibat dengan Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) di antara universiti dan badan korporat untuk kebajikan masyarakat orang asli di Negeri Sembilan bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Antara penghargaan yang dicapai adalah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari UKM, UPM dan USM sebanyak 12 kali bemula pada tahun 1994 sehingga 2015. Beliau juga telah dikurniakan Pingat Emas Reka Cipta dan Inovasi UPM serta Darjah Johan Setia Mahkota (JSM).

Pada majlis yang sama, kakitangan USIM yang turut menerima anugerah adalah Prof. Dr. Muhammad Taufik Mohd Nor (FPSK) menerima anugerah Darjah Setia Negeri Sembilan (D.N.S) sementara seramai 5 orang kakitangan USIM menerima Anugerah Ahli Setia Negeri Sembilan(A.N.S) iaitu En Hammad Farhi Mohd Saudi, Ketua Bahagian Pengambilan Akademik; En Asri Husain, Timbalan Pengarah Kanan Pusat Komunikasi Strategik; Pn Hariza Mohd Yusof, Ketua Bahagian Penerbitan, En Nur Ekmal Buhary, Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Dr. Hjh Azlina Mokhtar (FPSK) manakala En Zaini Othman, Penolong Pendaftar di Pusat Komunikasi Strategik dan En Mohammad Istiaq Abdul Shukor, Pembantu Perawatan Kesihatan di FPSK menerima Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (P.M.C).

 

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204