SUNGAI PETANI, 10 Feb 2017 – Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerjasama bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganjurkan International Workshop on Empowering Youth for Drug-Free Community (iEYDFC 2017) di Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (PLAK) bermula 4 hingga 8 Februari lalu.

iEYDFC 2017 menampilkan 3 bentuk modul di mana seramai 206 orang peserta berpeluang berdiskusi dengan pakar kaunseling mengenai permasalahan dadah secara menyeluruh merangkumi aspek pencegahan dadah awalan, pencegahan sekunder dan pencegahan lanjutan.

Peserta turut didedahkan asas rawatan dan pemulihan ketagihan dadah menggunakan pendekatan terapi psiko-spiritual Islam, selain berpeluang memberi khidmat bakti dan sumbangan kepada penduduk setempat melalui program outreach di Paya Nahu dan Tanjung Dawai.

“Adalah diharap agar iEYDFC 2017 dapat memberi pendedahan awal kepada golongan belia tentang langkah pencegahan, rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah yang kian meruncing di kalangan masyarakat. Secara tidak langsung pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial sebagai tanda sokongan pihak universiti kepada pihak AADK dalam ‘Membanteras Dadah Secara Habis-Habisan’,” ujar Dr Isa Amat, Pengarah ACREDA.

iEYDFC 2017 yang disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, En. Abdul Rahman Hj Hamid, turut mendapat kerjasama daripada Asia Pacific Universities on Community Engagement Network (APUCEN), iM4U, Drug Free Youth Association (DFYA) dan MASAC.

Disediakan oleh:
Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA)

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204