Lubnan, 9 Feb 2017 – Program Pengembaraan GISO 2017, Syrian We Come, Kem Pelarian Syria di Lubnan (GiSO SWC 2.0) merupakan misi bantuan kemanusiaan untuk pelarian Syria di Lubnan yang dijalankan oleh mahasiswa/i Fakulti Sains dan Teknologi bermula 24 Januari hingga 1 Februari lalu.
Seramai 26 orang turut serta yang terdiri daripada 10 orang pelajar USIM, 5 orang alumni USIM, 4 orang pakar perubatan dari Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), seorang doktor pakar dan 2 orang sukarelawan dari Pertubuhan Kebajikan Ibnu Sina (PERKIS) serta 3 orang sukarelawan Malaysia Lifeline for Syria (MLLFS) yang diketuai oleh YBhg. Prof. Dr.Norita binti Md Norwawi.
Misi bantuan kemanusiaan adalah dengan kerjasama Awareness & Consolation Association (ACA), sebuah NGO di Lubnan, merupakan kesinambungan dari program Syrian We Come, Kem Pelarian Syria di Lubnan kali pertama diadakan awal tahun 2016.
“Dalam misi kali ini, keperluan musim sejuk dan aspek kesihatan menjadi fokus utama dilaksanakan disetiap kem–kem atau rumah pelarian disekitar Lubnan. Misi ini juga mengagihkan barangan seperti pakej makanan kepada 650 buah keluarga termasuk anak-anak yatim, lebih dari 1000 helai selimut kepada 725 buah keluarga, 500 helai baju sejuk untuk kanak-kanak dan minyak tanah (kerosene) kepada 215 buah keluarga yang merupakan keperluan asas musim sejuk,” kata Prof. Dr. Norita.
“Alhamdulillah, misi kali ini berjaya mengumpul sumbangan hampir RM 180,000 melebihi sasaran sumbangan sebenar RM 100,000. Ini mencerminkan keprihatinan dan sifat cakna rakyat Malaysia yang tinggi terhadap saudara seakidah kita yang sedang ditimpa musibah.” katanya lagi.
Selain itu, Program ’الوقاية خير من العلاج‘ atau dalam Bahasa Melayu “Mencegah Lebih Baik daripada Mengubati” pula merupakan satu program pemeriksaan kesihatan di kem-kem dan rumah pelarian serta agihan ubat–ubatan secara percuma yang berjumlah hampir RM 20,000. Peserta misi juga dibawa melawat Arts, Sciences and Technology University of Lebanon (AUL) dan Jinan University serta melaksanakan aktiviti di sekolah Beqayal, Keternayer yang prihatin dalam memberikan bantuan dalam bentuk pendidikan kepada pelarian Syria.
Sebagai persediaan spiritual, program harian dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah, bacaan Mathurat serta tazkirah pagi bersama ahli kumpulan. Santapan rohani bertujuan untuk mendidik jiwa agar bergantung harap pada-Nya diiringi memurnikan niat. Sesi post-mortem serta taklimat aktiviti harian dilaksanakan setiap pagi untuk mencelik mata hati setiap peserta atas nasib pelarian Syria yang memberi pelbagai pengertian dari mata yang melihat.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua dermawan, serta komitmen peserta misi dari NGO seperti PERKIS, PERDIM dan MLLFS yang sudi menghulurkan bantuan dan sokongan kepada rakyat Syria. Moga dengan sokongan yang jitu dari seluruh rakyat Malaysia tidak kira Kaum, Bangsa dan Agama, dapat memberikan pengharapan dan semangat untuk meneruskan kehidupan di masa akan datang.” ujarnya mengakhiri perbualan.
Disediakan oleh:
Anis Shahirah Binti Badrul Hisham
Muhammad Hanis Bin Nor Sukor
Sekretariat GISO SWC 2.0
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204