NILAI, 26 November 2019 – Bersempena Majlis Istiadat Pembukaan pada 26 November 2019, DYMM Tuanku Canselor berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Da’wah dan Pengurusan Islam kepada Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dan Ijazah Kehormat Sarjana Da’wah dan Pengurusan Islam kepada Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman.
Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, seorang ahli akademik dan pendidik yang dilahirkan pada tahun 1953 merupakan tokoh yang disegani dan dikenali kerana sumbangan dan kecintaannya pada dunia academia pendidikan tinggi. Tinggi cintanya pada dunia akademi, tinggi lagi cintanya pada Masrah Abidin, isterinya yang menjadi tulang belakang, penyokong setia dan pendokong kuat kepada kejayaannya selama ini. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Masrah Abidin dan dikurniakan empat orang cahayamata – Ridzal, Johan, Suriani dan Farhana.
Diperingkat domestik, jawatan semasa beliau ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Keenam. Diperingkat antarabangsa, beliau pernah diberi tanggungjawab besar apabila menjadi Presiden ke-14 Persatuan Antarabangsa Universiti atau International Association of Universities (IAU) yang merupakan sebuah organisasi gabungan UNESCO yang berpusat di Paris dari tahun 2012-2016. Jawatan yang disandangnya ini menjadikan beliau adalah warga Malaysia pertama yang dilantik sejak penubuhannya 60 tahun yang lalu. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara atau Association of Southeast Asia Institutions of Higher Learning (ASAIHL) dari tahun 2007-2008.
Pertalian Dzulkifli Abdul Razak dan USIM bukanlah sesuatu yang asing, ia bukan hubungan yang biasa, tetapi boleh disimpulkan amat erat. Sebelum dilantik menjadi Rektor UIAM, beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah USIM dari tahun 2016-2018. Sebelum dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, beliau telah berkhidmat lebih awal di universiti apabila dilantik menjadi pemegang sulung Pengerusi Kepimpinan Islam dan Fellow Prinsipal di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dari tahun 2014-2016.
Antara jawatan lain beliau di institusi pendidikan tinggi ialah Profesor Kehormat di Universiti Nottingham sejak tahun 2014, dan baru-baru ini dilantik sebagai Penasihat Kanan di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, dan Felo Kehormat di Pusat Penyelidikan Dasar dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau juga merupakan mantan Naib Canselor kelima USM dan memegang jawatan tersebut dari tahun 2000-2011. Sebelum itu merupakan Timbalan Naib Canselor USM (Julai-November, 2000); Pengarah Pengasas Pusat Racun Negara (National Poisons Centre) dari tahun 1995 hingga 2000; dan Pusat Kerjasama WHO (WHO Collaborating Centre) mengenai Maklumat Dadah untuk Wilayah Pasifik Barat dari tahun 1998.
Pada tahun 2017, Dzulkifli Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengerusi bagi Establishment of Network for the Qur’an and Scientific Endeavours oleh Akademi Sains Malaysia. Sebelum itu beliau telah dilantik sebagai Koordinator Serantau Wilayah Asia Pasifik dalam Projek Penyelidikan Antarabangsa: Mengganti Sistem Pendidikan dan Latihan untuk Meningkatkan Kehidupan Belia Orang Asli, yang diketuai oleh Pengerusi UNESCO di York University, Toronto, Kanada.
Sumbangan besar Dzulkifli Abdul Razak menjadikan beliau telah menerima pengiktirafan dari pelbagai pihak dari dalam dan luar negara. Pada bulan Mei 2017, beliau telah dianugerahkan pingat berprestij Gilbert Medal pada tahun 2017 sebagai pengiktirafan komitmen jangka panjangnya kepada pendekatan bersepadu untuk pengantarabangsaan serta usaha keras beliau di dalam menyokong dan membangunkan dimensi Pendidikan Tinggi.
Selain daripada itu, beliau juga dianugerahkan pingat ini atas kesedian beliau untuk mencabar sistem pengetahuan Barat dan menyokong perkembangan dan penyebaran pandangan alternatif mengenai sains, falsafah dan pendidikan. Beliau merupakan penerima ke-7 di seluruh dunia, dan yang pertama dari Asia yang menerima penghormatan tertinggi yang boleh diberikan oleh Universitas 21 (U21) iaitu satu rangkaian global terkemuka yang terdiri daripada 25 universiti komprehensif yang diketuai oleh para penyelidik terpilih daripada 16 negara.
Pada bulan Ogos 2017, beliau menerima Anugerah Masyarakat dari Anugerah HRD Asia untuk usaha transformasi beliau di dalam bidang pendidikan. Anugerah itu juga mengiktiraf sumbangan beliau kepada pembangunan rakyat. Pada bulan November 2017, beliau menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-11 daripada kerajaan Malaysia.
Dunia academia yang sebati dengannya turut beliau terjemahkan dalam lembar penulisan. Selama lebih dari dua puluh tahun beliau menjadi penulis di ruangan mingguan untuk akhbar tertua Malaysia iaitu The New Straits Times, sejak tahun 1995; dan di ruangan Op-Ed untuk akhbar The Sun pada tahun 2015 iaitu akhbar harian bahasa Inggeris yang terluas edarannya di Malaysia.
Artikel-artikel beliau yang menyentuh pelbagai isu dan topik seperti pendidikan, kepimpinan, pembangunan mampan dan tadbir urus dan pengurusan turut dibukukan dan diterbitkan malah ada yang turut diterjemahkan dalam bahasa Sepanyol dan Mexico. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang kepimpinan, beliau telah mengarang lebih daripada 1000 artikel dalam jurnal dan media lain, serta diundang untuk menyampaikan banyak ucaptama di peringkat nasional dan antarabangsa.
Buku hasil penulisan beliau yang bertajuk ‘Nurturing a Balanced Human Person – The Leadership Challenge’ telah memenangi Anugerah Buku Negara 2016 (Anugerah Buku Kebangsaan 2016). Baru-baru ini, buku tulisan beliau yang bertajuk Pentafsiran Baharu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Perlaksanaannya Pasca 2020 (IIUM Press, 2019) memenangi Anugerah Buku Negara, kategori Perdana (2019 Anugerah Buku Kebangsaan, kategori utama).
Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman, anak jati Perak Darul Ridzwan dilahirkan pada tanggal 5 Jun 1950 dan merupakan anak ke tujuh dari 10 orang adik beradik. Orangnya berperwatakan lembut tetapi tegas dan adil dalam setiap keputusan yang dibuat olehnya. Sebagai pengenalan awal, beliau menerima pendidikan formal pertama di Sekolah Kebangsaan Slim Village di Perak. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di beberapa sekolah menengah iaitu Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh, Perak (Tingkatan 1 hingga 3), Sekolah Menengah Mehtodist, Tanjung Malim (Tingkatan 4 hingga 5) dan pengajian di Tingkatan 6 pula diteruskan di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.
Kecemerlangan pencapaian persekolahan telah membawa beliau ke Universiti Malaya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda dalam bidang Sastera (Kepujian) pada tahun 1974 dan seterusnya ke Iowa State Universiti, USA dan memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam (Master of Public Administration) dalam bidang pentadbiran pada 1987. Tidak terhenti di situ, kegigihan beliau untuk mendapatkan ilmu dan semangat untuk memperbaiki diri dalam bidang pengurusan diteruskan apabila beliau berjaya memiliki Certificate of Higher Education Management, di University of Oxford, United Kingdom pada 1997.
Kerjaya beliau bermula sebagai Penolong Pendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Unit Matrikulasi pada 31 Mei 1974 hingga 31 Oktober 1975. Beliau kemudiannya dipindahkan ke UKM, Kampus Sabah pada 1 Disember 1975 hingga 8 Jun 1976. “Hanya Jauhari Mengenal Manikam”, pengalaman beliau menguruskan beberapa unit dan bahagian di UKM amat menyeluruh dan mencakupi hampir semua bidang yang diperlukan oleh seorang pentadbir antaranya beliau telah ditempatkan di Pejabat Perhubungan Awam, kemudian di fakulti bagi menguruskan urusan kedekanan. Selang beberapa tahun, beliau ditempatkan pula di bahagian pentadbiran dan beliau juga telah diamanahkan untuk menguruskan pelajar di Unit Rundingcara Pelajar.
Pengalaman dan ilmu yang digarap ini telah memberikan ruang kepada beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pendaftar Kanan di UKM sebelum beliau diberikan tanggungjawab untuk menggalas jawatan sebagai Pengarah Unit Perumahan Pelajar pada 1 Mac 1991 hingga 5 Februari 1995. Pihak Pengurusan UKM melihat kemampuan beliau semakin menyerlah sebagai pentadbir dan tanpa ragu mengangkat beliau sebagai Ketua Penolong Pendaftar UKM di Pejabat Perhubungan Awam pada 6 Februari 1995 hingga 31 Disember 1998. Sebagai pentadbir yang cekap, kemampuan beliau sekali lagi dibuktikan apabila dilantik sebagai Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar UKM pada 1 Januari 1999 hingga 31 Disember 1999.
Tanggal 3 Januari 2000, beliau telah dilamar oleh YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Hussin, Rektor pertama KUIM sebagai Pendaftar pertama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) yang ditukarkan nama ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2007. Tuan Haji Addenan Haji Abdul Rahman merupakan pengasas awal KUIM/USIM ini dan berkerja dengan sumber yang paling minimum pada ketika itu. KUIM pada awalnya menumpang di bangunan UKM dan kemudiannya berpindah sementara di Bangunan Institut Profesional Baitumal (IPB), Kuala Lumpur.
Hakikatnya, beliau hanya dibantu oleh beberapa orang pegawai dan juga beberapa orang kerani untuk membangunkan governan dan struktur pentadbiran KUIM ketika itu. Pejabat beliau juga dibuka kepada semua pegawainya memandangkan ruang yang sempit ketika itu. Segala ruang yang ada perlu digunakan sepenuhnya. Turun naik pejabat Menteri Pendidikan ketika itu, tidak terkira bagi memastikan operasi KUIM berjalan seperti yang ditakwimkan. Susah payah beliau mengerah keringat yang ada bagi memastikan proses pentadbiran KUIM mampu berjalan seiring dengan universiti sedia ada di Malaysia ini terbalas dengan pengijazahan graduan pertama KUIM pada tahun 2003. Istilah putus asa tidak pernah wujud dalam diari hidup ketika itu dan beliau hanya mengharapkan agar usaha dan jerih perih dalam membangunkan KUIM dapat membantu ummah satu masa nanti.
Selepas bersara, beliau masih lagi diberikan kepercayaan oleh USIM untuk menjadi Penyelaras Dokumentasi, Peraturan dan Undang-Undang USIM pada 15 Jun 2009 hingga 14 Jun 2010. Sebagai seorang pentadbir, beliau amat memegang prinsip bahawa pentadbir berperanan menjayakan aspirasi sesebuah universiti. Pentadbir bukan sahaja terlibat dalam tugasan berkaitan pengurusan dan pentadbiran tetapi perlu mempunyai hubungan yang rapat dengan ketua, staf bawahan dan warga universiti keseluruhannya.
Di USIM, bakti dan jasa beliau terserlah dalam pelbagai penglibatan aktiviti dan sumbangan termasuk mempengerusikan Jawatankuasa-Jawatankuasa utama, aktif memberi pelbagai ceramah berkaitan pengurusan dan pentadbiran universiti, menjadi ahli panel dalam penggubalan kurikulum universiti, penglibatan dalam sukan dan lain-lain lagi aktiviti utama universiti. Rentetan dari penglibatan ini, beliau telah menerima Anugerah Khas dan juga Anugerah Khidmat Cemerlang dari Rektor KUIM pada tahun 2001. Beliau juga telah dianugerahkan dengan beberapa pingat kebesaran antaranya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau digambarkan sebagai contoh sebenar dan contoh hidup individu yang mempunyai ciri-ciri berkarisma tinggi, bersepadu, holistik dan seimbang. Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman mempunyai asas yang cukup kukuh dalam dunia pentadbiran dan pengalaman serta kepakaran yang amat cemerlang dalam aspek governan dan pengukuhan organisasi.
Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga USIM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan di atas penganugerahan tersebut.