SEPANG, 31 Januari 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) semalam meraikan seramai 99 orang peserta Sijil Kemahiran Sulh-Mediasi dalam satu majlis penyampaian sijil tersebut bertempat di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA.
Majlis Penyampaian Sijil dan Pelancaran Skuad Sulh ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurut Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dalam ucapan perasmiannya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi agama komited ke arah perpaduan agama dan keharmonian Malaysia dalam membawa agenda perpaduan negara dengan mengetengahkan anjuran agama Islam mengenai keamanan, hidup bersama dan toleransi dalam masyarakat, serta advokasi nilai sejagat yang merentas perbezaan dan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“Saya berpandangan bahawa kemahiran Sulh ini juga boleh dikembangkan lagi kepada pemerkasaan keupayaan masjid-masjid, masyarakat kampung dan institusi keluarga Islam dengan menggalakkan ‘satu keluarga satu mediator’. Selain itu, ia boleh dihebahkan sebagai literasi penyelesaian konflik kepada mereka yang lebih muda di sekolah-sekolah dan belia. Saya percaya pelaksanaan pensijilan sulh-mediasi dan Skuad Sulh akan membuka ruang kepada lebih banyak usaha inovatif dan kolaborasi yang luas”.
Menurutnya lagi, dengan pelancaran Skuad Sulh ini, kolabrasi bersama institut pengajian tinggi awam(IPTA) dalam mempertingkatkan keupayaan rakyat dengan ilmu dan kemahiran menyelesaikan konflik agar perpaduan dikekalkan akan dilaksanakan.
Penglibatan USIM menyambut inisiatif ini, dengan kepakaran dan tenaganya , adalah satu penglibatan yang terpuji yang mendekatkan universiti dengan masyarakat dan industri. Usaha ini adalah selari dengan kesedaran bahawa “the future is collaborative” dan “collaboration is the future” yang membolehkan kita memanfaatkan segala sinergi yang ada untuk tujuan bersama.
“Selari dengan amalan mediasi dalam sektor utama negara dan trend pemakaiannya di seluruh dunia, saya yakin kita boleh mempelajari pelbagai teknik dan pendekatan baharu dalam memperkasa aplikasi sulh di malaysia. Justeru saya menyambut baik usaha pensijilan Sulh-Mediasi ini untuk pengembangan ilmu Sulh, latihan dan profesionalisme Sulh yang berpotensi ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa”, ujarnya lagi.
Sementara itu, Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Ts. Sharifudin Md Shaarani berkata, pensijilan profesional Sulh-Mediasi ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan dengan gabungan kepakaran, kemahiran dan pengalaman akademia dan institusi keadilan Syariah. Ia adalah perintis kepada pembangunan kompetensi dalam Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) terutamanya dalam konflik kekeluargaan Islam di Malaysia. Program ini telah berjaya dilaksanakan sebanyak 3 sesi pada tahun 2022 dengan penyertaan pelajar tahun akhir USIM di bawah pembiayaan baucar KPT-Pace berjumlah RM297,000.
“Kursus ini mensyaratkan peserta memenuhi kehadiran selama 40 jam dan lulus penilaian mengikut standard yang telah ditetapkan. Peserta yang memenuhi kesemua syarat tersebut layak ditauliahkan sebagai Pengantara (Sole Mediator). Seramai 40 orang orang jurulatih dan fasilitator yang terdiri daripada mediator bertauliah, pegawai syariah, pegawai sulh dan juga pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM yang terlibat menjayakan kursus ini”.
“Kerjasama strategik di antara USIM dengan JKSM telah terjalin sekian lama dan dimeterai dengan Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara dua institusi ini. Inisiatif USIM dalam membangunkan modul pensijilan Profesional Kemahiran Sulh-Mediasi dengan kerjasama JKSM adalah bertitik tolak daripada hasrat untuk memperkasa institusi keluarga, komuniti dan masyarakat dalam menyelesaikan pertikaian secara damai menggunakan pengantara yang bertauliah, beretika dan berpengetahuan dalam bidang ini. Usaha murni JKSM dalam memartabatkan institusi sulh juga sentiasa disokong oleh USIM”.
sumber: FSU
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan