COLOMBO, 25 Januari 2018 – Sekumpulan siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) seramai 15 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Sri Lanka kira-kira jam 9.30 pagi (waktu tempatan) selepas menempuh empat jam penerbangan dari Kuala Lumpur sebentar tadi. Mereka merupakan ahli Kelab Debat USIM yang terdiri daripada pengurusan dan pendebat universiti akan berada di Sri Lanka bermula hari ini sehingga Selasa hadapan.

Keberadaan mereka selama seminggu bagi menjayakan misi Global Islamic Student Outreach (GISO) untuk menyantuni dan melaksanakan khidmat komuniti dan pertukaran ilmu bersama masyarakat Islam di sana. Misi para siswa ini turut disertai Pegawai Pengiring, Encik Mohd Zaini Othman yang merupakan Penasihat Kelab Debat USIM.

“Hari pertama kita tiba di Sri Lanka ini, kita terus mulakan pengisian GISO berbentuk akademik bersama para pelajar di dua buah institusi pendidikan iaitu Kal Eliya Muslim Ladies Arabic College dan Aysha Siddeqa Arabic College. Pada hari yang lain, kita akan mengadakan kunjungan muhibah ke Peradeniya University dan Madrasah Hira Pre School. Lokasi setiap institusi ini adalah jauh antara satu-sama lain”.

“Sepanjang di sini, kita juga akan menziarahi komuniti minoriti Islam di beberapa daerah di Sri Lanka iaitu di Pasyala, Mawanella, Nuwara Eliya dan Pinnawala. Kita mendapat bantuan NGO Islam di sini iaitu Muslim Foundation For Culture and Developement. Lokasi paling jauh kita akan pergi ialah bertemu masyarakat Islam di Kandy yang terletak di Wilayah Tengah Sri Lanka.”.

“Untuk tiba di sana, ia memerlukan perjalanan darat sekitar empat jam dari ibu kota Colombo. Di Kandy ini nanti, kita akan serahkan bantuan keperluan harian seperti gula, susu dan tepung untuk masyarakat Islam yang miskin dan melakukan program pengisian keagamaan. Doakan misi kami berjalan baik dan berjaya” ujar Mohd Zaini.

Mempunyai penduduk seramai 21.2 juta, penganut agama terbesar di Sri Lanka ialah Buddha iaitu kira-kira 70.19 peratus, diikuti Hindu sebanyak 12.6 peratus, Islam dengan 9.7 peratus dan selebihnya adalah Kristian. Semasa di Sri Lanka ini, siswa USIM akan turut mengambil peluang untuk menyelami kebudayaan tempatan selain melawat beberapa lokasi menarik yang menjadi tumpuan pelancong luar.

Melalui penganjuran GISO ini, ia akan memberikan impak yang positif kepada para pelajar dalam aspek melahirkan mahasiswa yang berketerampilan, berkepimpinan dan prihatin sekaligus melahirkan warganegara Malaysia yang cakna dan peduli dengan isu-isu masyarakat global.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204