Kuala Gula, Perak, 21 September 2019 – Isu pencemaran alam sekitar yang kini mendapat liputan meluas telah meningkatkan kesedaran banyak pihak tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan ekosistem semula jadi di negara ini. Justeru, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Komuniti Sayangi Alam Sekitar: Penanaman Bakau dan Pelepasan Benih Ikan di Kuala Gula Sanctuary Resort, Perak pada hari ini.

Program yang mendapat kerjasama dengan Majlis Daerah Kerian, Jabatan Perikanan Daerah Kerian, Sahabat Bakau, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perikanan Daerah Kerian, Balai Polis Kuala Kurau dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau melepaskan 2000 benih ikan dan 200 penanaman anak bakau yang merupakan simbolik kepada program tersebut.

Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU) USIM, Dr. Nik Mohd Shafikuddin Md Tajuddin mengucapkan tahniah kepada 30 sukarelawan yang bertungkus lumus untuk menjayakan program ini. Pendekatan seperti ini berupaya untuk menerapkan dan memberi latihan pemantauan ke atas spesies terpilih untuk menyediakan petunjuk biologi disamping dapat menerapkan kesedaran kepada para pelajar dan penduduk setempat kepentingan menjaga tanaman bakau dan ekosistem bakau.

Mengulas lanjut, Dr Nik berkata program seperti ini akan diteruskan demi menjaga alam sekitar dan menerapkan nilai-nilai murni ini dalam kalangan komuniti setempat dan para pelajar yang terlibat pada hari ini.

Jelasnya, penanaman pokok bakau bukan sahaja boleh mencegah hakisan pantai dan memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang serta ketam dapat membiak, malah ia menjadikan Kuala Gula Sanctuary Resort tempat eko-pelancongan seterusnya meningkatkan stok sumber perikanan setempat dan ekonomi penduduk setempat khususnya di pantai itu.

Pada masa yang sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Bin Yusof berkata, Program pada pagi ini amat bermakna kepada komuniti di daerah Kerian dalam menjaga alam sekitar untuk menarik lebih lagi para pelancong dalam dan luar negara.

Menurutnya lagi penglibatan dari semua pihak secara tidak langsung dapat mendidik generasi muda tentang kepentingan mengekalkan ekosistem hutan pokok bakau yang turut menjadi sarang pembiakan hidupan air seperti ikan, udang dan ketam.

Tuan Haji Mohd Sabli bin Bakri selaku Pegawai Daerah Kerian telah merasmikan program ini dengan menandatangani papan perasmian oleh setiap wakil dari jabatan yang hadir.

“Kami amat mengalu-alukan lagi kerjasama jabatan yang ada dalam Universiti Sains Islam Malaysia yang ingin menjadi rakan strategik demi menjaga alam sekitar di Perak”, tambah beliau.

Majis turut dihadiri oleh En. Sahiburrahman bin Ahmad, Ketua Perikanan Daerah Kerian dan Cik Puji Astuti binti Ismaun , Pengerusi Sahabat Bakau yang mewakili negeri Perak.

 

Disediakan oleh :
Badrul Hisham Zakaria
Strategic Communication Centre (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan