NILAI, 7 September 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima seramai 2,192 pelajar baharu yang mendaftar masuk ke kolej kediaman pada 5 September, Selasa dan jumlah tersebut kekal semasa sesi pendaftaran universiti dan kursus bagi sesi kemasukan 2017/2018 yang berlangsung pada 6 September bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Urusan pendaftaran di kolej kediaman bermula seawal jam 8.30 pagi di tiga lokasi iaitu Kolej Kediaman 1(KK1), Kolej Kediaman Sutera Indah dan Kolej Kediaman Nilam Court di mana pengangkutan bas digunakan untuk kemudahan pergerakan pelajar dan ibu bapa. Rata-rata ibu bapa yang ditemui berpuas hati dengan proses pendaftaran kolej serta dapat mengiringi pelajar dalam keadaan terkawal dan lebih sistematik.

   

Pengetua Asrama KK1, Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar berkata, sesi pendaftaran di perkarangan Kolej Kediaman 1 berjalan lancar dan teratur dengan para pelajar ditemani penjaga mereka yang tiba seawal pukul 8.30 pagi bagi menyempurnakan urusan tersebut.

Tahun ini USIM menerima sebanyak 23,069 permohonan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke 9 fakulti di USIM. Fakulti Sains dan Teknologi mencatat jumlah pelajar mendaftar paling tinggi seramai 458 pelajar diikuti Fakulti Ekonomi dan Muamalat (396), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (340), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (303), Fakulti Syariah dan Undang-undang (288), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (224), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (80), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (68) dan Fakulti Pergigian (35).

Menurut En Hammad Farhi Mohd Saudi, Ketua Bahagian Pengurusan Akademik, daripada jumlah 2,192 pelajar yang mendaftar, pecahan lelaki sebanyak 614 dan 1,578 perempuan termasuk enam orang pelajar antarabangsa dari Indonesia, Singapura dan Gambia. 

Antara pelajar yang ditemui berkongsi rasa gembira dan tidak sabar untuk menjalani kuliah pada minggu hadapan. Bagi pelajar istimewa (Autisme), Ahmad Zahiruddin Zailani, 21 tahun dari Bangi yang merupakan pelajar USIM, Diploma Tahfiz Darul Quran di Kuala Kubu Bharu. Pelajar ini telah sepenuhnya menghafaz 30 juzuk Al-Quran selama 2 tahun setengah pengajiannya.

Ahmad Zahiruddin yang bercita-cita menjadi Pakar Teknologi Maklumat memilih program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dengan Multimedia bagi mendapatkan pendedahan mendalam bagi subjek komputer pada masa yang sama mengekalkan hafazan Al-Quran yang dipelajarinya.

“Saya memilih sendiri program ini dengan sokongan ibu bapa kerana amat meminati kedua-duanya dan jika dilihat di Universiti Awam yang lain tidak banyak menawarkan subjek komputer dan agama dalam satu program,” ucapnya.

Sementara itu, Nurul Husna Mohamad Dali, 19 tahun dari Kuala Selangor pula bersyukur kerana dapat mengikuti bidang perakaunan pada masa yang sama turut mendalami ilmu ke arah keagamaan. Nurul Husna dilahirkan istimewa sejak dilahirkan, namun beliau berazam untuk membanggakan keluarga dan mencapai cita-citanya sebagai seorang pensyarah.

“Berkat sokongan keluarga, saya tidak menjadikan kekurangan ini satu bebanan sebaliknya menjadi lebih bersemangat kerana saya tidak mahu menghampakan harapan ibu bapa. Alhamdulillah sejak kecil saya telah diasuh berdikari menguruskan diri sendiri dan keputusan untuk belajar di USIM adalah yang terbaik demi masa depan,” ujarnya.

Siti Fathiyatun Nazli, 20 tahun dari Kajang yang ditemui mendaftar bersama ibu dan bapanya memilih sendiri program Bahasa Arab dan Komunikasi menyatakan rasa teruja untuk mempelajari lebih mendalam kerana telah lama menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian di USIM.

Menurut ibunya, Surimah Paijan, anaknya, Siti Fathiyatun terpaksa menunda lewat masuk pengajian kerana perlu menjalani pembedahan masalah slip disc pada tulang belakang akibat terjatuh semasa di tingkatan 6. Urusan menjalani rawatan tersebut telah dimaklumkan kepada pengurusan pendaftaran dan telah pun mendapat kebenaran memulakan kuliah setelah sihat sepenuhnya.

Bagi pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia dari Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Nurul Ain Syahida Mohd Munji, 19, yang berasal dari Klang, Selangor USIM menjadi pilihan selepas Universiti luar negara kerana larangan dari keluarga untuk belajar ke luar negara. Beliau mendapat tawaran program Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian. Anak kepada pasangan Mohd Munji Hasan Taib dan Seridaton Misiwan Hasnah Md Isa turut bercita-cita menjadi Pengetua sekolah yang berkualiti dan patuh dengan syariat Islam bertekad untuk membuat yang terbaik untuk keluarga beliau.

Bermula dari hari pendaftaran sehingga 8 September pelajar baharu ini akan menjalani minggu orientasi antaranya Taklimat Liqa’ Universiti, Bicara Bulan Kebangsaan, Majlis Lafaz Ikrar, Ramah Mesra Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan (Akademik dan Antarabangsa), Taklimat Pengurusan Kewangan, Sesi Bersama Duta TN50, Taklimat Perpustakaan, Keusahawanan, Kemahiran Insaniah, Sistem Maklumat dan Taklimat Fakulti dan Serahan Kad Pelajar.

  

  

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204