NILAI, 13 Mac 2022 – Seramai 66 Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam bagi tahun 2022.

Majlis Pentauliahan Kor SISPA USIM telah dilaksanakan secara ringkas tapi penuh bermakna mengikut Standard Operasi Prosedur di Dewan Kuliah Pusat 4 tanpa kehadiran ibu bapa sebagai langkah bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Sesi penyampaian sijil disampaikan oleh Yang Amat Setia Pesuruhjaya Pertahanan Awam Dr. Haji Norhafifi bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Pj. (PA) Dr. Haji Norhafifi dalam ucapannya berkata kewibawaan dan tanggungjawab yang akan digalas sebagai Pegawai sukarelawanan Kor SISPA ini tidak boleh dipandang enteng oleh pihak lain. Setiap pegawai mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang masing-masing kerana mereka adalah dari kalangan pelajar universiti seluruh malaysia.

Manakala Penolong Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim, merangkap Komandan Kor SISPA USIM berkata, menerusi program Kor SISPA ini para pelajar akan lahir sebagai graduan yang holistik dengan memiliki kecemerlangan akademik dan Kemahiran Insaniah (soft skill) yang tinggi.

“Mereka juga akan memiliki kelebihan sebagai personaliti unggul (Towering Personality) dalam masyarakat serta memiliki kelebihan dalam menempuhi alam pekerjaan yang mencabar nanti”, ujar Prof. Dr. Radhi.

Dalam majlis pentauliahan tersebut juga, Pegawai Kadet Sispa Nurul Naqibah Mohd Amdi,22, pelajar program Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Sains dan Teknologi dianugerahkan sebagai Kadet Terbaik Kor SISPA USIM bagi tahun 2022.

Sepanjang penyertaan beliau dalam Kor SISPA, beliau banyak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia antaranya memegang jawatan sebagai Setiausaha, dan juga pengacara majlis. Selain itu, beliau turut aktif dalam bidang kesukanan dan kepimpinan. Beliau pernah merangkul tempat ketiga dalam pertandingan Selangor Youth Skills (Sektor Hackathon) dan Kejohanan Bola Tampar.

Sejak penubuhan Kor SISPA pada tahun 2008, seramai 686 Kadet USIM telah berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan