NILAI, 28 Mei 2019 – Selain gubahan lagu Hari Raya versi baharu yang dinanti setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, iklan Hari Raya yang diterbitkan oleh syarikat korporat seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia yang memaparkan pelbagai mesej melalui jalan cerita lucu, sedih dan pengajaran turut menjadi perhatian dan mempunyai peminat tersendiri sejak dahulu.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) saban tahun tidak terlepas menghasilkan iklan Hari Raya sejak 2013 bagi meraikan kemeriahan Syawal dengan tema dan jalan cerita tersendiri. Iklan Hari Raya USIM 2019 bertajuk “Surprise Raya” berjaya menarik perhatian warganet sejak mula disiarkan secara rasmi pada Jumaat lalu, 24 Mei 2019 di media sosial rasmi universiti. Selepas empat hari tayangan, iklan raya kali ini ternyata ‘menjadi’ apabila sehingga jam 9.00 pagi Selasa (28 Mei 2019), ia telah meraih lebih 150,000 tontonan di Facebook USIM dan saluran Youtube USIMTV.

Di Facebook USIM misalnya, iklan ini telah mencapai tontonan lebih 61,000 kali disamping menerima 769 komen, 3,167 tanda suka dan dikongsi semula sebanyak 1,308 kali. Tontonan yang tinggi juga dilihat di saluran Youtube USIMTV apabila mencapai 98,000 tontonan selain turut dikongsi laman sosial popular antaranya Metafora Anafora yang meraih tontonan semasa 14,000 kali. Walaupun tidak ditayangkan di televisyen, ternyata pengaruh dan capaian meluas media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram terbukti memberi pengaruh yang besar mempopularkan iklan raya USIM ini.

Berkisahkan tentang seorang mahasiswa yang membawa watak Bard, beliau perlu membahagikan masa antara persiapan raya bersama keluarga dan menghadapi peperiksaan akhir semester selepas Hari Raya nanti. Kejutan yang diberikan keluarganya selepas tamat peperiksaan ternyata membuatkan Bard terharu. Mesej moral yang ditekankan ialah mengenai ikatan kekeluargaan yang erat dan setinggi mana cita-cita seorang anak ia tidak akan tercapai tanpa restu kedua ibu-bapa. Dihasilkan oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM bersama siswa StraComm Clique, penggambarannya melibatkan seramai 32 orang krew dan pelakon diadakan pada April lalu selama tiga hari bertempat di kampus dan sebuah rumah kampung di Labu Negeri Sembilan.

Menurut pelakon utamanya, Muhammad Fahmi Mohamad Faizal, pelajar tahun tiga jurusan Komunikasi Media Baharu, beliau melahirkan rasa teruja diberi peluang oleh produksi iklan raya USIM. Tidak menafikan rasa gugup kerana ini kali pertama berlakon dihadapan kamera, Fahmi menjadikan ini sebagai satu cabaran dan sokongan dari krew banyak membantu sepanjang penggambaran. “Ia cepat popular kerana saya merasakan iklan ini dekat suasana semasa kampus kerana siswa USIM dan beberapa universiti awam lain akan mula menduduki peperiksaan akhir semester selepas Hari Raya nanti. Jadi sememangnya bercampur baur perasaan seronok berhari raya dan sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan” ujarnya.

Bagi Naib Canseor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad yang turut membuat penampilan khas dalam ini menyifatkan iklan raya USIM kali ini lebih unik dan turut memuji jalan ceritanya yang relevan. Tambahnya lagi, sinergi kuat diantara pelakon dan krew yang terdiri daripada pelajar, staf dan ahli keluarga, alumni serta pengurusan tertinggi berjaya diolah sebaiknya sekaligus menjadi kekuatan iklan raya ini kali ini.

Pada 2014, iklan raya USIM yang berjudul ‘Dua Lebih Baik’ berjaya tersenarai antara lima iklan hari raya yang popular di media sosial hasil tinjauan yang dibuat oleh portal berita Astro Awani. Antara judul iklan raya USIM yang telah dihasilkan sebelum ini ialah Tumpang Raya (2013); Syawal Bersama (2015); Miftah (2016); dan Malam Terakhir (2017).

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032