Inovasi berintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dalam Cabaran Robotik ala Al Jazari

Bertitik tolak daripada proposal penganjuran dan pertemuan di FKAB antara penganjur iaitu Robotics Learning (M) Sdn. Bhd. dengan USIM yang diwakili oleh Pengarah PIJIM, Dekan FKAB, dan Kolej PERMATA Insan, pertandingan bertaraf dunia yang telah memenangi Guiness World Record 2016 sebagai pertandingan robotik terbesar di dunia ini telah dibawa ke mesyuarat LPU dan dipersetujui penganjurannya di DTC USIM pada 18 dan 19 Februari 2017.

Pertandingan yang dianjurkan ini adalah untuk memilih wakil Malaysia ke kejohanan tahunan dunia di Kentucky, USA pada April nanti. Pasukan-pasukan pada pertandingan kali ini ialah pasukan yang telah dilatih beberapa tahun oleh Robotics Learning Sdn. Bhd. sebagai wakil tunggal dan rakan jurulatih VEX Robotics di Malaysia sejak 2009.

Kejohanan tahun ini menghimpunkan sebanyak 40 pasukan daripada seluruh Malaysia termasuk wakil Malaysia dua tahun sudah iaitu Sekolah Tun Fatimah (STF) dan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang bertanding dalam 2 format kejohanan bagi musim ini iaitu VEX IQ Challenge Crossover (kategori 8 hingga 13 tahun) dan VEX Robotics Competition Starstruck (kategori 14 hingga 18 tahun).

Pasukan dari PERMATA Insan USIM adalah pasukan yang terakhir mendapat lampu hijau bagi penyertaan pertandingan ini bagi kategori VEX Robotics Competition Starstruck iaitu cabaran merekabentuk robot yang perlu memegang bintang bercabang enam dan bantal kiub yang perlu dilempar dan ditolak melepas pagar ke gelanggang lawan.

Dua pasukan telah dihantar untuk menyertai pertandingan ini atas tiket penganjuran di USIM. Walau bagaimana pun, pasukan PERMATA Insan memang belum pernah terdedah dengan VEX Robotics Competition, malah sebarang pertandingan robotik bertaraf dunia pun selama ini kerana baru sahaja beroperasi dalam 2 tahun 2 bulan.

Kepercayaan ini diberikan kepada PERMATA Insan untuk melihat kemampuan insan Pintar dan Berbakat atau mereka menggelar diri mereka PERMATA GTi bagi membuktikan sesuatu yang di luar jangkaan. Menyahut cabaran tersebut, pensyarah kanan di Kolej PERMATA Insan yang juga mentor program penyelidikan pelajar iaitu Dr Faszly Rahim, mengambil inisiatif untuk bersama-sama PERMATA GTi yang telah dikenalpasti berminat untuk menjurus dalam bidang Komputer Sains, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Mekatronik, dan Kejuruteraan Aeroangkasa seramai 10 orang setiap pasukan bagi menyertai pertandingan ini.

Bertempat di Roboticist Bangsar Village II, iaitu pusat latihan Robotics Learning (M) Sdn. Bhd., Pasukan PERMATA GTi terpaksa menggunakan perkhidmatan Komuter dan Tren Rapid KL untuk ke sana dan berjalan kaki lebih 5 km pergi dan balik beberapa hari untuk menjalani sesi latihan kerana kesuntukan masa untuk membuat sebarang tempahan.

Kedua-dua pasukan hanya mempunyai masa dalam satu 1 bulan sahaja daripada tarikh pertandingan bagi membuat persiapan. Hanya 16 jam sahaja tempoh yang dapat diberi tumpuan penuh dalam mendapatkan pendedahan kepada teori dan format pertandingan bagi mereka bentuk dan membina robot-robot mereka terus di sana.

Begitu juga mereka perlu membuat sebarang modifikasi terhadap masalah yang dikenalpasti serta perlu menulis program untuk automasi robot semasa sesi latihan di sana. Setiap langkah rekabentuk kejuruteraan, pembinaan dan pengaturcaraan perlu dicatatkan secara terperinci dalam buku penyelidikan yang dibekalkan dalam kit penyertaan kumpulan dalam masa yang singkat itu. Setelah robot direkabentuk dan disiapkan, mereka mempunyai hanya 10 hari untuk menguji robot dan menyelesaikan masalah dan kerosakan teknikal yang dihadapi di Kolej.

Format pertandingan VEX Robotics challenge ini melibatkan beberapa anugerah iaitu, Anugerah Rekabentuk, Anugerah Pengaturcara, Anugerah Pemandu, Anugerah Inovasi dan Anugerah Kecemerlangan yang perlu dimenangi melalui proses kejuruteraan dan sains yang direkodkan dalam buku penyelidikan dan pembentangan sewaktu pertandingan. Namun, apa yang paling menjadi tumpuan sewaktu pertandingan ialah pertarungan mengejar masa dalam liga kejohanan.

Liga kejohanan menyaksikan kedua-dua Pasukan PERMATA Insan dikehendaki berpadu tenaga dengan rakan-rakan daripada pasukan lain termasuk dari Sekolah Tun Fatimah, MCKK A, TKC B, Roboticist, serta bertemu dengan rakan PERMATA GTi sendiri bagi mengutip mata dalam menduduki tempat 5 teratas dalam liga.

Pasukan PERMATA Insan 2 diketuai oleh Aiman Hakim (14 tahun) telah menduduki Ranking Pertama dalam liga, manakala Pasukan PERMATA Insan 1 yang diketuai oleh Abdul Razzak Khan menduduki Ranking ke-3 di bawah MCKK A manakala MCKK B di tangga ke-4 dan STF di tangga ke-5.

Bermula pada pusingan separuh akhir, dalam format VEX Robotics Competition, pasukan yang menduduki tempat lima teratas dibenarkan untuk memilih robot “rakan seperjuangan” untuk berdepan dengan lawan. Pasukan PERMATA Insan telah memutuskan untuk berganding bahu berjuang bagi mengalahkan MCKK yang berganding bahu antara Pasukan MCKK A dan MCKK B. Pertarungan sengit menyaksikan pasukan yang lebih berpengalaman menjuarai Starstruck Challenge tersebut. Walau bagaimana pun, PERMATA GTi tidak pulang dengan tangan kosong apabila Pasukan PERMATA Insan 1 berjaya membawa pulang Innovate Award.

Para Juri pula pada masa-masa tertentu akan melawat booth pasukan. Setiap pasukan perlu membentangkan idea rekabentuk dan inovasi ke atas robot mereka dalam menyelesaikan masalah yang diketengahkan. Teori fizik dan konsep inovasi mereka perlu disepadukan dengan setiap kerja pembinaan dan modifikasi.

Pasukan PERMATA Insan 1, dalam menginovasikan rekabentuk robot mereka, telah mendapatkan inspirasi daripada dalil-dalil Naqli dan Aqli melalui tadabbur ayat 36 Surah Al An`am yang menuntut manusia untuk memerhatikan makhluk-makhluk yang melata serta burung-burung terbang yang sebenarnya menjalani corak kehidupan yang mirip umat manusia.

Mereka telah mengambil rekabentuk kumbang rusa (Stag Beetle) jantan yang bertarung bagi inspirasi rekabentuk bahagian sepit robot mereka yang diberi nama PERMATA GTr (Gifted and Talented robot) bagi mempelantikkan bintang dan kiub ke gelanggang lawan sama seperti yang dilakukan oleh kumbang rusa jantan dalam pertarungan sebenar merebut pasangan.

Bagi Pasukan PERMATA Insan 2 pula, robot mereka diinspirasikan daripada Ayat 27 dan 28 Surah Fatir yang memperihal tentang kepelbagaian makhluk ciptaan Allah serta Surah An Nur ayat 25 yang memperihalkan tentang pergerakan haiwan. Mereka telah mengambil inspirasi daripada sepit kala jengking sebagai model penyepit yang berfungsi dalam aksi pertarungan mengejar waktu itu.

Apa yang paling penting dalam format pertandingan STEM peringkat Global seperti VEX Robotics Competition ini adalah elemen penyelidikan dan proses sains. Selain itu, semangat kerjasama, pengurusan pasukan dan muhibbah yang ingin diterapkan dalam jiwa bakal-bakal pemimpin STEM dunia!

Nama Team:     PERMATA Insan A
Nama Robot:     PERMATA GTr
(PERMATA Gifted and Talented robot)

Ahli-ahli pasukan ini dipilih dalam kalangan pelajar yang telah menetapkan minat untuk menjurus bidang kejuruteraan dan pengkomputeran sahaja berdasarkan pemetaan yang telah dibuat oleh Timbalan Pengarah dan mentor penyelidikan di Kolej PERMATA Insan iaitu Dr. Faszly Rahim.

Nama Ahli Pasukan PERMATA Insan A:

1.    Abdul Razzak Khan Bin Rustum Ali Khan (Ketua)
Bidang kepakaran yang ingin dikuasai:
(Kejuruteraan Kecerdasan Buatan dan Visual)

2.    Muhammad Harraz Iman Bin Mazlan
(Kejuruteraan Mekatronik Industri)

3.    Muhammad Haziq Bin Bahtiar
(Kejuruteraan Mekanikal Tenaga)

4.    Muhammad Fa’iq Firdaus Bin Abdullah
(Kejuruteraan Aeronautikal Helikopter)

5.    Faisal Bin Abdul Rahman
(Kejuruteraan Aeronautikal)

6.    Ahmad Amirul Azri Bin Rohandi
(Kejuruteraan Aeroangkasa dan Tenaga Keterbaharuan)

7.    Muhammad Taqiuddin Bin Mazlan
(Kejuruteraan Perisian dan Penderiaan Jauh)

8.    Ahmad Haziq Bin Mohamed Sabri
(Kejuruteraan Rekabentuk Fuselaj)

9.    Zahir Hariz Bin Zahanis
(Kejuruteraan Dron)

10.    Muhammad Shukhairi Bin Misbah
(Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa)

Ahli-ahli pasukan ini dipilih dalam kalangan pelajar yang telah menetapkan minat untuk menjurus bidang kejuruteraan dan pengkomputeran sahaja berdasarkan pemetaan yang telah dibuat oleh Timbalan Pengarah dan mentor penyelidikan di Kolej PERMATA Insan iaitu Dr. Faszly Rahim.

Nama Ahli Pasukan PERMATA Insan B:

1.    Abdul Razzak Khan Bin Rustum Ali Khan (Ketua)
Bidang kepakaran yang ingin dikuasai:
(Kejuruteraan Kecerdasan Buatan dan Visual)

2.    Muhammad Harraz Iman Bin Mazlan
(Kejuruteraan Mekatronik Industri)

3.    Muhammad Haziq Bin Bahtiar
(Kejuruteraan Mekanikal Tenaga)

4.    Muhammad Fa’iq Firdaus Bin Abdullah
(Kejuruteraan Aeronautikal Helikopter)

5.    Faisal Bin Abdul Rahman
(Kejuruteraan Aeronautikal)

6.    Ahmad Amirul Azri Bin Rohandi
(Kejuruteraan Aeroangkasa dan Tenaga Keterbaharuan)

7.    Muhammad Taqiuddin Bin Mazlan
(Kejuruteraan Perisian dan Penderiaan Jauh)

8.    Ahmad Haziq Bin Mohamed Sabri
(Kejuruteraan Rekabentuk Fuselaj)

9.    Zahir Hariz Bin Zahanis
(Kejuruteraan Dron)

10.    Muhammad Shukhairi Bin Misbah
(Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa)
Disediakan oleh:
Dr Faszly Rahim
Pensyarah
Kolej Permata Insan

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204