Perubahan iklim merupakan salah satu fenomena yang semakin membimbangkan serta dilihat memberi impak negatif kepada sistem ekologi hidupan dan alam sekitar. Ini termasuklah kadar peningkatan suhu persekitaran terutamanya di kawasan bandar. Kawasan perumahan dalam bandar yang mempunyai ‘kawasan hijau’ yang terhad merupakan salah satu punca terhadap isu ini. Walaubagaimanapun, ianya boleh diatasi melalui pendekatan teknologi hijau iaitu Triple Eye Lid.

Triple Eye Lid merupakan sebuah inovasi yang diusul serta direkabentuk oleh sekumpulan arkitek, bagi mengatasi masalah perubahan iklim seperti peningkatan suhu persekitaran dan pencemaran udara disamping menghasilkan sumber makanan melalui produk sayur-sayuran untuk manusia. Ianya adalah sistem rekabentuk pasif mudah alih focus kepada memelihara persekitaran hijau di bandar, yang mana tumbuhan ditanam secara menegak didalam pot yang direkabentuk secara menegak dan boleh dipasang di permukaan seperti di dinding atau balkoni dan menghasilkan sumber sayur-sayuran (edible garden). Di samping itu, tumbuhan yang ditanam turut membantu sebagai satu sistem kawalan pencemaran udara pasif dengan kongsep tirai penapisan udara terutamanya daripada debu dan habuk yang tidak sihat seperti cuaca jerubu.

Triple Eye Lid ini mempunyai sistem tanaman yang ideal dan praktikal. Fungsi sistem pengairan tanamannya bukan sahaja menggunakan aplikasi automatik, tetapi secara tidak langsung, ianya juga memberi kesan penyejukan atau pendingin (cooling) pasif kepada sesebuah bangunan. Triple Eye Lid ini terdiri daripada 3 stuktur lapisan menegak dengan dilengkapi sensor pergerakan cahaya solar untuk penjanaan tenaga solar, sensor kelembapan tanah, sensor kawalan suhu dan sensor pengesanan partikal udara. Sensor ini dapat membantu pemiliknya untuk memudahkan pengurusan pemeliharaan tanaman dan kawalan persekitaran bagi mencapai kualiti keselesaan kepada penghuni.

Manakala, bagi ciri-ciri keselamatan, sensor ini juga dicipta bagi mengesan sebarang gangguan yang disebabkan oleh pergerakan luar dengan menghantar isyarat terus kepada sistem keselamatan pemilik.

Dengan adanya ciptaan teknologi hijau inovatif yang sedemikian, prototaip mesra pengguna dan mesra alam ini mempunyai potensi untuk dikomersialkan kerana ianya mudah diselenggara, cepat untuk dipasang dan penggunaan tenaga yang sangat efisien.