NILAI – Menurut statistik kajian pencemaran 2016, setiap seisi rumah menggunakan minima secara purata minyak masak sebanyak 2 kilogram sebulan manakala 45% minyak yang tidak boleh digunakan akan dibuang begitu sahaja.

Turut disedari, pembuangan minyak masak ke dalam sinki secara berleluasa boleh menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan menggalakkan pembiakan haiwan perosak seperti tikus dan lipas. Ini secara tidak langsung menjadi tempat pembiakan haiwan perosak yang akan menjejaskan kesihatan penduduk.

Menyedari timbulnya kesedaran terhadap pengurusan pembuangan minyak masak terpakai, sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencetuskan idea keusahawanan. Mereka yang terdiri daripada lapan orang ahli, menggerakkan kumpulan mereka dengan nama Allinol Oil di bawah aktiviti keusahawanan sosial yang dikendalikan oleh Encatus USIM. Kumpulan yang mula ditubuhkan pada 2013 ini telah mengambil satu inisiatif dengan menjalankan aktiviti pengumpulan minyak masak terpakai dari pengguna sekitar Nilai, Negeri Sembilan.

“Melalui pemerhatian kami, kebanyakan minyak masak terpakai dibuang secara salah seperti dituang sahaja ke dalam sinki. Malahan tidak dinafikan juga segelintir peniaga yang menggunakan minyak masak yang banyak untuk menggoreng makanan akan menggunakannya berulang kali atas alasan menjimatkan modal sedangkan ia tidak baik untuk kesihatan,” ujar Liyana Rosman.

“Melihat kepada permasalahan ini, kami datangkan solusi yang sesuai menggunakan pendekatan keusahawan sosial. Keusahawanan sosial ini konsepnya kita membantu menyelesaikan isu yang berbangkit di kawasan sekitar dengan pelbagai inisiatif sesuai. Pada masa yang sama, kita dapat menjana pendapatan secara tidak langsung. Melalui ahli kumpulan dapat mengasah kemahiran insaniah, komunikasi dan menyantuni masyarakat,” tambahnya.

Menurut siswi Sarjana Muda Quran dan Multimedia, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah ini, melalui usaha mereka, masyarakat secara tidak langsung mula di didik bahawa bukan sahaja kertas, kaca dan plastik sahaja boleh dikitar semula. Projek yang dicetuskan oleh Allinol Oil ini telah membantu dalam mengatasi masalah pembuangan minyak masak terpakai yang kerap dilakukan mereka sebelum ini.

Minyak masak terpakai sebenarnya boleh dikitar semula menjadi minyak bio-diesel, sabun dan lilin. Pada masa kini, minyak masak yang dikumpul akan dihantar ke sebuah syarikat yang bekerjasama dengan mereka iaitu UNI10 Energy untuk diproses menjadi bio-diesel sahaja.

Mereka juga mempunyai perancangan untuk menyediakan satu pusat khas pengumpulan minyak masak terpakai ini yang dinamakan sebagai “Oil House” berdekatan Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM. Lokasinya yang strategik akan memudahkan warga USIM dan masyarakat Nilai untuk menghantar minyak masak terpakai kepada mereka.

Menurut ahli kumpulan ini, proses pengumpulan minyak masak terpakai di premis atau kediaman dibuat apabila terdapat permintaan sahaja kerana mereka memfokuskan pengumpulan dari premis di dalam kampus.

Projek keusahawanan sosial mereka ini memberi impak yang besar dalam membantu masyarakat menjaga kesihatan mereka. Ia juga melestarikan alam sekitar apabila dapat mengawal pencemaran akibat pembuangan sisa minyak masak terpakai secara tidak terurus sebelum ini.

Masih ramai lagi masyarakat yang tidak menyedari tentang projek ini dan penerangan panjang harus diberi kepada masyarakat setempat termasuklah penerangan mengenai bahayanya menggunakan minyak masak berulang kali dan membuangnya ke dalam longkang.

Harapan kami adalah supaya kita sama-sama dapat memelihara alam sekitar walaupun dengan hanya mengambil langkah kecil seperti mengitar semula minyak masak terpakai dan meningkatkan lagi kesedaran masyarakat supaya mengamalkan projek kitar semula minyak masak terpakai.

Ahli kumpulan :

Syuaib Bin Jauhar
Nurul A’diilah Binti Mohd Zulkifli
Siti Nur Ayuni Binti Rosli
Fatinah Binti Mohd Mansor
Siti Norathirah Binti Kamaruzaman
Najhan Bin Rozali
Norizan Binti Miswadi