NILAI, 8 April 2020 – Semangat berpasukan dan sifat keprihatinan yang ditunjukkan oleh Doktor Pakar Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) wajar dijadikan contoh dan teladan. Berbekalkan dana yang dikumpul oleh pasukan projek yang terlibat, mereka telah menggerakkan operasi menjahit PPE untuk dibekalkan di hospital-hospital dan klinik yang memerlukan. Idea ini tercetuskan pada 1 April lalu, dan gerak kerja telah dimulakan pada esoknya 2 April 2020.

Sehingga kini, pasukan ini telah berjaya menghasilkan 299 set PPE bagi fasa pertama dan telah diserahkan kepada hospital Ampang semalam.

Menurut Profesor Madya Dr Azlina Mokhtar Pakar Oftalmologi selaku Ketua Projek, beliau mendengar keluhan rakan-rakan setugas yang tidak mempunyai bekalan PPE yang mencukupi di Hospital Ampang, serta mempunyai bahan kain non-woven tetapi tidak mempunyai tenaga pekerja mencukupi untuk menjahit peralatan PPE, ini terus membakar semangat kami untuk terus menggerakkan projek bantuan ini dalam masa 24 jam idea tercetus dengan berbekalkan bahan kain yang diterima dari Hospital Ampang untuk fasa ini.

“Kutipan dana dilancarkan oleh Profesor Madya Dr Maizatul Azma Masri dan Dr Nor Eyzawiah Hassan dikalangan sahabat-sahabat dan saudara mara terdekat bagi membeli bahan-bahan jahitan lain.”

“Kami bersyukur ketua jahitan adalah dari pakar forensik USIM yang memang berbakat dalam cara-cara membuat pola dan jahitan, yang menariknya, dengan tutorial yang dijalankan secara online kami memulakan jahitan dengan dibantu oleh ahli keluarga masing-masing sehingga hujung minggu untuk siapkan jahitan pada fasa pertama ini”, jelas DR Azlina lagi.

“Fasa kedua projek mensasarkan sebanyak 1000 unit dengan kerjasama pasukan jahitan dari syarikat jahitan tempatan iaitu Kamoora Butik Entreprise dan Pookal Industry Sdn Bhd. Fasa ke 3 pula dijangka akan menjalinkan kerjasama bersama Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU), Pusat Libatsama Masyarakat dan Jalinan Industri (PLiMJI) dan Pusat Wakaf Zakat USIM dengan sasaran jahitan yang dapat disiapkan sebanyak 2000 unit”, tambah beliau. .

Beliau berkata lagi, pakaian PPE ini akan diagihkan kepada Klinik Pakar Kesihatan USIM termasuk Pusat Hemodialysis USIM di Nilai dan juga beberapa Hospital Pengajar USIM iaitu Hospital Ampang, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Hospital Port Dickson dan juga beberapa Klinik Kesihatan dan Pusat Kesihatan Daerah serta kepada hospital yang kritikal penggunaannya seperti Hospital Seremban.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan