NILAI, 2 Mac – Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) melancarkan Pusat Bahasa dan Kebudayaan Jepun yang dirasmikan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Pusat Bahasa dan Kebudayaan Jepun ditubuhkan sejak tahun 2016 dengan penawaran kursus bahasa Jepun Tahap 1 dan Tahap 2. Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang budaya antarabangsa, khususnya Budaya Jepun dalam membentuk menjadi graduan yang boleh menguasai pelbagai bahasa, kemahiran dan ilmu pengetahuan.

”USIM sangat menitikberatkan siswazahnya mempunyai elemen Naqli dan Aqli yang diterapkan dalam pembelajaran di USIM. Antaranya, dengan mempelajari pelbagai bahasa pelajar akan mampu membina kerjaya lebih cemerlang dan mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa,” ujar Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad.

”Saya amat kagum dan berbangga melihat karnival seperti ini dijalankan di universiti di mana ia menggalakkan penglibatan pelajar untuk mempelajari budaya dan keunikan yang ada di Jepun. Malah ia memberi peluang cerah kepada pelajar apabila tamat pengajian nanti,” ucap Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Antara pelajar yang ditemui berkongsi pandangannya bahawa karnival ini boleh meningkatkan minat pelajar untuk mengenali budaya dan keunikan Jepun melalui aktiviti yang dijalankan.

”Pada saya, apabila belajar bahasa selain bahasa ibunda, kita akan lebih kenal budaya dan apabila kita boleh berbahasa Jepun secara tidak langsung komunikasi akan menjadi lebih berkesan malah hubungan akan lebih mesra terjalin. Selain mudah untuk mendekati bangsa lain, kami mampu untuk berfikir di luar kotak dalam perbincangan di dalam kelas,” ujar Afeqah Ahmad, pelajar tahun 2 yang merupakan bekas ahli pusat bahasa tersebut.

Turut diadakan adalah Karnival Kebudayaan Jepun melalui pameran ’booth’ makanan Jepun, pemakaian baju tradisional Jepun, Yukata serta sesi forum serta wacana ilmu oleh penceramah jemputan, Dr. Hiroko Shiozaki dari Universiti Islam Antarabangsa dan persatuan NGO alumni myJAD melalui perkongsian pengalaman atau ‘Keiken Talk’ mengenai nilai-nilai positif antara budaya, kepercayaan serta nilai murni di dalam masyarakat di Malaysia dan Jepun.

Program jalinan kedua negara ini turut disertai oleh wakil persatuan dan institusi dari negara Jepun seperti the Japan Foundation Kuala Lumpur, Institut Bahasa Teikyo, JICA (Japan International Cooperation Agency) dan MAJAS (Malaysia Assoc. of Japanese Studies).

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204