NILAI, 13 November 2017 – USIM sekali lagi berjaya menganjurkan majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) 2016/2017 kali ke-9 bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Bertepatan dengan hasrat USIM yang bertekad untuk melahirkan graduan berteraskan ilmu Naqli & Aqli, ia merupakan kemuncak pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian pelajar dalam pelbagai aktiviti yang telah melonjakkan nama USIM sepanjang sesi Akademik 2016/2017. Ia juga simbolik penghargaan USIM kepada pelajar yang telah berupaya memperkasakan diri mereka menghadapi cabaran alam kerjaya.

Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk meningkatkan motivasi dan semangat berorganisasi pelajar, menanda aras kepada penambah baikkan berterusan program kemahasiswaan pada tahun mendatang, selain memupuk minat lebih ramai pelajar untuk terlibat secara aktif dalam program kemahasiswaan.

Pelbagai kategori yang dicalonkan antara Anugerah utama adalah Tokoh Pemimpin Siswa yang dimenangi oleh saudari Nor Azimah Junus dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa pula dimenangi oleh saudara Ikhwan Firdaus Roslan juga dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat. Masing-masing membawa pulang trofi dan wang tunai RM500.  Manakala Anugerah Tokoh AKSIS 2017 dinobatkan kepada saudara Muhammad Nuur Hidayat Muhammad Fisal dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat. Beliau membawa pulang trofi dan wang tunai RM1,000.

Bagi Kategori Khas (Ikon GIINA) telah dinobatkan kepada saudari Farah Alwani Azaman, graduan Ijazah Sarjana Muda (Sains) Teknologi Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi. Beliau terlibat secara aktif dalam ko-kurikulum seperti lawatan Antarabangsa ke Seoul, Kembara GISO ke Australia, dan mewakili delegasi USIM ke Parlimen Mahasiswa 2016, selain memenangi beberapa anugerah dan pencapaian seperti Anugerah Kecemerlangan Siswa (Kategori Kepimpinan) 2015 dan Anugerah Emas i-REKA’15 dan i-REKA’16.

Bagi ikon GIINA, mahasiswa dipandu supaya terlibat dengan pelbagai aktiviti yang menggarap kemahiran serta mencerna sahsiah mereka sebagai modal insan berdaya saing dan berdaya maju di masa akan dating meliputi 21 ciri graduan merangkumi elemen holistik, berkeusahawanan dan seimbang.

“Ketiga-tiga elemen teras dalam model ini sangat selari dengan prinsip pembangunan sumber manusia dalam Quran dan Sunnah yang sentiasa menekankan aspek kesyumulan (holistik), keseimbangan dan nilai keusahawanan untuk mendidik sifat kebertanggungjawaban seorang insan, membentuk keperibadiannya sebagai sebaik-baik makhluk dan membina system atau kaedah terbaik dalam segala bentuk amalan dan tindakan, selari dengan peranannya sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi”.

“Model ini turut menyahut seruan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan pembangunan insan daripada sudut intelek, rohani, emosi dan jasmani dengan kepatuhan teguh kepada Tuhan sebaimana falsafah dinyatakan seperti berikut:
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara” tambah Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan Timb. Naib Canselor (HEP dan Alumni), dalam ucapan aluannya.

USIM turut menganugerahkan Anugerah Sumbangsih (individu) kepada individu yang banyak bekerjasama dalam menjayakan pelbagai program di USIM iaitu Encik Syamsul Amri Ismail, jurulatih Debat Bahasa Melayu USIM dan Syed Indera Syed Omar (SISO) Karyawan  Seni USIM. Manakala anugerah Sumbangsih (organisasi) diberikan kepada Institut Wasatiyyah Malaysia.

Turut hadir memeriahkan majlis Pengerusi LPU USIM, YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Timb. Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dr. Roshada Hashim dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, En. Nasrul Hakim Ahmad.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204