Bandar Baru Nilai, 7 April 2010 – Manuskrip merupakan khazanah hebat dan agung di dalam dunia Islam. Kebanyakkan usia dokumen bertulis seperti manuskrip ini melebihi 100 tahun lamanya. Ia menjadi sumber dan bahan rujukan utama kepada tulisan-tulisan baharu di zaman moden hari ini.

Di alam melayu, manuskrip merupakan bahan tinggalan bersejarah yang mana membantu generasi hari ini memahami gaya hidup dan nilai kebudayaan yang wujud seantero dunia sebelum ini. Begitu juga manuskrip yang wujud di alam dunia Islam yang mana kebanyakkan tulisan-tulisan tokoh agung Islam menulis didalamnya.

Melihat kepada hakikat keistimewaan dan kepentingan manuskrip ini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut cabaran dan saranan Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Muda, Naib Canselor USIM supaya mahasiswa Islam ‘bergerak mengikut masanya’, iaitu membuktikan kepada dunia hari ini bahawa mahasiswa Islam juga tidak ketinggalan dengan arus perkembangan dunia teknologi dan maklumat. Mahasiswa Islam mampu mengembangluaskan pengetahuan ilmu-ilmu lama ini menerusi capaian atas talian (Online) kepada warga USIM khususnya dan masyarakat umumnya.

“Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah merupakan roh kepada USIM itu sendiri. Ini kerana Al-Quran dan As-Sunnah menjadi pedoman kita bersama dalam mengorak langkah kejayaan demi kejayaan di universiti ini. Saya berpandangan pihak fakulti telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan kursus seperti ini. Manakala mahasiswa itu sendiri merupakan perintis dan pelopor kerana mempelajari ilmu ini sehingga berjaya membina laman web e-Manuskrip”, kata Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Muda semasa merasmikan Majlis Pelancaran Laman Web e-Manuskrip anjuran Fakulti Quran dan Sunnah (FPQS) USIM.

“Ia juga membantu kita merealisasikan agenda Islam dengan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat yang terkini. Apatah lagi, ilmu-ilmu lama ini diterjemah atau disalur melalui laman web seperti e-manuskrip ini”, tambahan beliau lagi.

Antara tujuan penganjuran majlis ini adalah untuk memperkenalkan laman web e-Manuskrip yang pertama dan dibina sendiri oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat, USIM. Selain itu, ia juga bertujuan mengumpul, menyimpan dan berkongsi khazanah manuskrip di Malaysia sama ada manuskrip Melayu atau Arab. Secara tidak langsung ia menghargai hasil kerja pengemaskinian manuskrip melayu dan Islam selama satu semester oleh mahasiswa yang mengambil kursus Manuskrip Melayu Dan Islam: Kajian Dan Analisis.

Muhammad Alif Bin Ismail, mahasiswa tahun akhir kursus Manuskrip Islam Dan Melayu: Kajian Dan Analisis berkata, program ini merupakan pengalaman dan pengetahuan baharu dalam mendalami keluasan dan kekayaan ilmu manuskrip ini secara praktikal.

“Pada mulanya agak sukar mendalami dan mempelajari ilmu manuskrip ini. Kemudian barulah saya dan rakan-rakan sedar bahawa ilmu manuskrip ini sangat luas untuk dikaji dan ia memerlukan kesabaran, ketekunan dan kemahiran yang baik. Jika tidak mungkin kita akan mudah putus asa mempelajarinya”, tambah beliau yang juga merupakan Pengarah Majlis Perasmian Dan Pelancaran Laman Web e-Manuskrip.

Oleh :
Jawatankuasa Penganjur,
Majlis Perasmian & Pelancaran Laman Web e-Manuskrip
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah