NILAI, 7 SEPT 2016 – Seramai lebih 300 peserta yang hadir ke Program  Konsolidasi Patriotisme Ekonomi Bumiputera anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) USIM bersama Majlis Kepimpinan Latihan Universiti Malaysia (MAKLUM) dan Majlis Keusahawanan Universiti Malaysia (MAKMUM) bertempat di Dewan Kuliah Utama Fakulti Pengajian Quran Sunnah.Sebanyak 8 kertas kerja yang dibentangkan  dari pelbagai agensi antaranya dari Jabatan Pelaburan Ekuiti, Persatuan Usahawan Internet Malaysia, SME Corp Malaysia, wakil GABEM dan wakil USIM.

Prof Dato Dr. Musa Ahmad Naib Canselor USIM berkata, program ini merupakan platform serta medium bagi memberi kefahaman dan kesedaran serta menerapkan budaya keusahawanan di kalangan pelajar IPT. Menerusi program ini juga adalah diharapkan agar penjelasan perjuangan ekonomi Bumiputera dapat disampaikan kepada para pelajar USIM dan seterusnya meningkatkan penyertaan para pelajar dalam sektor perniagaan.

“Agenda keusahawan merupakan antara agenda besar yang diberikan perhatian pada tahun ini berdasarkan pencapaian pelajar yang membanggakan. Justeru, pihak universiti menyokong penuh serta akan turut membantu usaha para pelajar menggilap potensi diri mereka untuk masa hadapan yang lebih cerah. Job creator dewasa ini menjadi elemen penting ke arah mencapai negara maju. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi negara dan ekonomi dunia yang agak mendebarkan dari hari ke hari”.

“Justeru, universiti perlu memainkan peranan di mana USIM perlu bersedia membantu graduan untuk lebih berdaya saing dengan menjadi job creator dan bukannya job seeker lagi. Inisiatif seperti pelaksanaan program Hands On Programme of Entrepreneurship (HOPE) dan Youthpreneur USIM dijalankan secara kolaborasi penuh dengan industri sebagai pemangkin semangat pelajar untuk terus berkecimpung di dalam bidang usahawanan”, tambah Dato Musa.

Manakala Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik berkata, antara faktor penyebab bangsa Melayu tidak menguasai ekonomi negara, terpinggir dan jauh ketinggalan jika dibandingkan bangsa lain ialah kerana tebalnya budaya dan nilai hidup yang negatif yang diamalkan di dalam kehidupan masyarakat bangsa kita. Penghalang utama dalam usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera walaupun kerajaan bersungguh sungguh menyediakan pelbagai kemudahan ialah amalan nilai-nilai negatif seperti materialistik, individualistik, pilih kasih, hasad dengki dan iri hati serta tidak yakin dengan kaum sendiri.

Turut hadir sama pada majlis tersebut, Datuk Mohammad Izat Hasan Ketua Pegawai Eksekutif GABEM.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204