NILAI, 26 Mei 2018 – Ketika rakan-rakan lain sedang lena menikmati tidur malam, sekumpulan siswa-siswi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC) pula sebaliknya dengan berjalan sekitar bandaraya Kuala Lumpur untuk mengagihkan juadah sahur kepada gelandangan di sana baru-baru ini.

Program Geng Singgah Sahur KKNC ini  merupakan anjuran Jawatankuasa Kebajikan Siswa/I (JAKSA) KKNC disertai seramai 40 orang peserta dengan kerjasama Tazkiyatun Nafs Training & Consultancy dan sukarelawan Feed The Homeless-Malaysia.

Turut bersama dengan para pelajar ini adalah Pengetua, Felo Kolej Kediaman dan staf pejabat pentadbiran KKNC serta wakil dari Pusat Perumahan Pelajar USIM. Program bermula dengan semua peserta berkumpul di Stesen Bas Jalan Silang, Kuala Lumpur kira-kira jam 12.00 malam sebelum dibahagiakan kepada tiga kumpulan bergerak ke lokasi-lokasi yang telah dkenalpasti.

Antara lokasi mereka menyantuni para gelandangan ini untuk menyerahkan juadah sahur adalah di sekitar Kotaraya, Puduraya, Masjid Negara, Chow Kit, Lorong Haji Taib, Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebelum semua kumpulan bertemu di lokasi terakhir iaitu di Dataran Merdeka.

Menurut Pengarah Program Geng Singgah Sahur KKNC, Saudara Muhammad Fiqran Hussin, selain menyerahkan sumbangan sahur berbentuk makanan, mereka turut mengagihkan pakaian terpakai kepada para gelandangan ini. Tegas beliau juga, sebelum para peserta memulakan aktiviti bertemu gelandangan, pihak Tazkiyatun Nafs Training & Consultancy turut memberi penerangan langkah keselamatan yang perlu diberi perhatian untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Jalan dalam berkumpulan tidak beseorangan atau berpasangan, memakai pakaian yang cerah dan kasut sukan, tidak mengejutkan gelandangan yang sedang tidur, jangan memberi sumbangan dengan jarak terlalu dekat, mematuhi undang-undang pejalan kaki dan segera meninggalkan lokasi jika terdapat gelandangan yang melakukan provokasi” ujar Fiqran yang merupakan Biro Pembangunan Insan JAKSA KKNC berkongsi mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil.

“Sebagai Pengarah Program, saya menzahirkan rasa gembira dengan bantuan yang diberikan bagi menjayakan program ini dengan menyumbang tenaga dan idea, serta keringat. Tanpa rakan-rakan JAKSA, Sekretariat Pembangunan Insan dan sukarelawan, program ini tidak akan berjalan dengan baik seperti dirancang” tambah siswa yang mengambil jurusan Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang ini.

Sementara itu, Tazkiyatun Nafs Training & Consultancy dalam satu kenyataan turut melahirkan ucapan terima kasih kepada para pelajar USIM atas komitmen dan kerjasama menjayakan program ini. Mereka turut melahirkan rasa berbesar hati kerana dipilih menjadi rakan kerjasama menjayakan program ini dan turut memberi komitmen untuk terus sedia bekerjasama dengan program lain anjuran USIM di masa hadapan.

Program Geng Singgah Sahur KKNC ini berakhir kira-kira jam 4.00 pagi dengan penyampaian cenderamata dari pihak KKNC kepada wakil Tazkiyatun Nafs Training & Consultancy dan Feed The Homeless-Malaysia yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Izuan Ab Ghani, Pengetua Kolej Kediaman KKNC disusuli dengan sesi bergambar.

 

Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204