NILAI, 21 Disember 2018 – Buat pertama kalinya Persatuan Mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (PMFKP) bersama persatuan pelajar lain berkolaborasi mengadakan Gotong-royong Perdana FKP 1.0 yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Prof Madya Dr. Mohd Radhi Ibrahim.
Dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga FKP, aktiviti ini juga bertujan membaik pulih fasiliti fakulti serta mempertingkatkan kebersihan dan keceriaan di kawasan fakulti.
Timbalan Dekan FKP, Dr. Muhammad Khairi Mahyuddin berharap dengan pelaksanaan aktiviti ini, pelajar dapat mempelajari nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian antaranya membentuk sikap merendah diri dalam melakukan sesuatu pekerjaan juga mendidik hati dan jiwa sentiasa bersih.
“Di dalam setiap tindakan dan pelakuan ikutlah syariat Islam, mulakan setiap pekerjaan dengan bacaan doa tanpa mengabaikan aspek keselamatan semasa aktiviti pembersihan dijalankan,” ucapnya.
Manakala bagi Pengarah Program, Mohd Fazli Othman, beliau berasa amat berbesar hati dan gembira kerana penganjuran aktiviti ini telah mencapai objektif sebenar iaitu menyatukan kesatuan pelajar fakulti dan berharap semangat kerjasama dan berpersatuan akan diteruskan pada masa akan datang.
Muhammad Alif bin Ahmad Salimin selaku YDP Persatuan Mahasiswa FKP berpesan, “Menginginkan suasana fakulti yang bersih dan ceria akan menjadi sekadar keinginan semata-mata dan sia-sia sekiranya tiada satu tindakan diambil bagi mewujudkan suasana tersebut”.
Antara peserta gotong-royong, Muhammad ‘Izzuddin Mohamad Ares bersetuju dengan kenyataan Timbalan Dekan FKP bahawa dalam menyemai budaya gotong-royong bukan hanya aktiviti pembersihan tandas dan persekitaran sebaliknya ia harus selaras dengan usaha membersihkan hati dan jiwa dari perlakuan negatif.
Disediakan oleh :
Nur Syabirah
Khadijah Ulfah
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan