NILAI, 23 November 2017 – Wajah-wajah gembira para graduan merakamkan kenangan manis sempena hari graduasi mereka. Seramai 2,562 graduan USIM dirai sempena Majlis Konvokesyen yang bersidang tiga hari bermula 21 hingga 23 November di Dewan Tuanku Canselor.

Turut berkongsi kegembiraan bersama ibu tercinta, Maisarah Thulhuda Binti Mat Jafri, 24, berasal dari Raub Pahang merupakan anak sulung dari dua beradik. Beliau yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik dalam bidang Al-quran. Sekarang beliau menjadi tenaga pengajar sambilan di Akademi Pengajian Raudhatul Quran di Raub Pahang.

___________________________________________________________

Pasangan suami isteri muda, Noor Atikah Abdul Rahman dan suami, Mohamad Asyraf Saharudin yang memiliki dua orang cahaya mata yang berumur 2 tahun dan sebulan ceria dapat menggenggam ijazah bersama-sama di Sidang 2 pada Majlis Konvokesyen ke-15 USIM.

Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan ini tiada masalah untuk membahagikan masa antara mengurus keluarga dan ulang kaji. “Kami menempuh alam perkahwinan semasa tahun klinikal iaitu tahun 4,5 dan 6. Proses belajar banyak dimaksimumkan semasa 3 tahun di hospital. Untuk ulang kaji pula, isteri akan belajar awal pagi semasa anak sudah tidur dan saya belajar menggunakan tablet yang boleh dirujuk bila-bila masa,” ujar Mohamad Asyraf.

____________________________________________________________________________

Sharifah Shuhada dan Sharifah Shahira Syed Hashim, 23 tahun, antara graduan kembar yang mencuri perhatian yang bergraduasi pada sidang kedua. Serba serbi sama dari segi minat dan cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah. Malah, sekarang kedua-dua pasangan ini sedang mengajar sementara di SABK Maahad Al- UmmahChemor Perak sambal menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

_______________________________________________

 

Bermula dari semangat cikgu kaunseling semasa di sekolah menengah, Sahran Sudin menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi. Anak ketiga dari lima beradik ini mendapat tajaan dari JPA dan masih menunggu posting di Kementerian Kesihatan. Cabaran beliau yang tidak dapat dilupakan semasa pengajian adalah untuk mendapatkan pesakit dan kes yang sesuai untuk praktikal ( tahun 3-5) . Berhadapan dengan pesakit yang susah menghadiri sesi rawatan dan ini menganggu prosedur untuk seseorang pelajar pergigian melepasi tahun pengajian.

 

 

_____________________________________________________________________________

Umi Maisarah Mohd Shukri adalah salah seorang dari 13  graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan kepujian kerjasama USIM dan Kolej  Universiti Islam  Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS). Beliau yang mendapat pointer 3.69 (Kelas Pertama) berasal dari Kota Bharu Kelantan ini turut berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana.

___________________________________________________________

Demi membantu keluarga Sharifah Najwa Farhana Syed Shahabudin, 24, tekad untuk mencari wang saku bagi menampung perbelajaan harian. Wang pinjaman PTPTN pula dikongsi bersama adiknya yang sedang melanjutkan pelajaran peringkat Diploma di Salak Tinggi. Beliau berasa gembira dan terharu dan ingin membuktikan kepada adik-adiknya bahawa walaupun dari keluarga

sederhana namun pelajaran  tetap diutamakan dengan mengubah nasib keluarga. Anak kedua dari tujuh beradik ini berasal dari Terengganu bergraduasi dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.