NILAI, 30 Mac 2022 – Rata-rata graduan masa kini bijak merebut peluang dan mencuba pengalaman baharu dalam mendepani dunia yang semakin mencabar. Bukan hanya menuntut ilmu di kampus, malah mereka juga berjinak-jinak untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan sekaligus membantu menaikkan taraf kehidupan mereka ketika di peringkat pengajian lagi.

Konsep prosumer yang disemarakkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) disambut baik oleh graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang bergraduasi semalam.

Bertepatan dengan tema konvokesyen iaitu pandemik Covid-19 pemangkin prosumer Muslim yang berdisiplin, Muhammad Ikmal Mohd Riza, 26, kini mengusahakan perniagaan aksesori telefon sejak semester empat sehingga kini. Hasil disiplin dalam perniagaan yang diusahakan, segala perbelanjaan pengajian sehinggalah kos untuk mendirikan rumahtangga adalah hasil titik peluhnya dari usaha beliau sendiri.

Selain membantu keluarganya, anak sulung dari lapan beradik ini turut memberi pekerjaan kepada adik beradiknya, dan mempunyai 4 orang pekerja serta lebih dari 200 orang dropshipper. Beliau aktik menggunakan media sosial sebagai medium mempromosikan perniagaan.

Begitu juga, bagi Mohamed Najmuddin Mazlan, 26 yang mengusahakan perniagaan biskut traditional warisan keluarga. Bidang pengajian yang dipilih tidak menghalang minat beliau untuk turut serta membantu keluarga memajukan perniagaan yang kini sedang mendapat sambutan.

Najmuddin merancang untuk menyambung pengajian dalam Sarjana Neurologi di samping meneruskan perniagaan yang sedang diusahakan.

Naib Canselor Prof. Dato Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berucap pada Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-19 Sidang Tambahan, beliau menyatakan konsep prosumerisme ini amat penting untuk diterapkan dalam diri pelajar dan kakitangan kerana pelbagai cabaran perlu ditempuhi oleh pelajar khususnya apabila ingin mencari pekerjaan kelak seperti cabaran Revolusi Perindustrian keempat (Industri 4.0) yang melihat teknologi automasi sebagai keupayaan teknologi serta pandemik COVID-19 yang mula menular di seluruh dunia.

“Tambahan, World Economic Forum juga melalui The Future of Jobs Report 2020 mengganggarkan bahawa 133 juta jenis pekerjaan akan berubah menjadi pekerjaan baharu manakala 75 juta akan pupus disebabkan perkembangan teknologi”.

Jelasnya lagi, majikan juga perlu bersedia dalam menyediakan pekerjaan yang menepati konsep Future-Ready Workforce dalam memastikan setiap pekerja fleksibel dan mempunyai kemahiran yang tertentu dengan sebarang keadaan yang akan berlaku pada masa akan datang. Kesemua cabaran berikut merupakan cabaran terbesar buat graduan universiti apabila menamatkan pengajian nanti, ujarnya lagi.

Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-19 Sidang Tambahan ini diadakan khusus bagi meraikan 80 orang graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) USIM yang sepatutnya dijadualkan untuk bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen pada 23 hingga 30 November 2021 lalu. Namun ditangguhkan kerana perubahan penjadualan takwim akademik dan tarikh penilaian peperiksaan akhir disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 tahun lalu.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan