NILAI, 10 Julai 2021- Seiring dengan perkembangan teknologi, media sosial antara medium yang popular dan mudah dicapai bagi msyarakat seluruh negara menyampaikan maklumat, berinteraksi dan sebagainya. Namun, disebalik kelebihannya, terdapat kelemahan atas penyalahgunaan media sosial ini. Sebagai contoh perkataan viral atau tular sangat sinonim dengan masyarakat masa kini khususnya dalam media sosial. Ia seringkali disalah gunakan dengan menyebarkan maklumat tanpa mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diterajui oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan proaktif dengan menganjurkan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan juga siaran langsung Youtube USIM TV Persidangan Antarabangsa, Islam, Media dan Komunikasi (ICIMAC) Kali Ke-3, 2021 yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Saifuddin bin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Objektif penganjurannya adalah untuk memberi ruang dan platform terbuka kepada ahli akademik, para penyelidik, pelajar pasca-siswazah, pengamal media, dan agensi-agensi kerajaan dan NGO yang berminat dalam bidang penyelidikan Islam, media dan komunikasi. Peserta berpeluang untuk membincangkan, seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di Timur dan Barat.

Bertemakan “Komunikasi, Media dan Kesannya Ketika Krisis”, ia bertepatan dengan suasana pandemik yang melanda negara sekarang. Tema ini adalah relevan untuk diperbincangkan secara ilmiah di peringkat negara dan juga antarabangsa.
Peranan komunikasi dan media sangat diperlukan untuk berkomunikasi sesama kita, masyarakat setempat dan global.

Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata, masyarakat dilihat sangat optimis dengan dengan kehebatan yang dijanjikan oleh teknologi, namun tidak menafikan bahawa teknologi juga mudah untuk disalahgunakan dan mencetuskan kerunsingan lain. Etika memainkan peranan yang penting dan perlu diterapkan dalam diri seluruh rakyat Malaysia. Not Sure, do not Share!

Beliau menambah lagi, bertepatan dengan moto USIM iaitu berilmu, berdisiplin dan bertakwa, USIM sentiasa berusaha untuk terus menjadi relevan dalam masyarakat sebagai peneraju kemajuan intelektual yang berpaksikan takwa. Berbidang bitarakan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, USIM telah menyemai budaya prosumerisme dalam kalangan warganya agar Misi USIM 2022 tercapai iaitu mentransformasi USIM sebagai Universiti Sains Islam Glokal berimpak tinggi.

“Dalam menjayakan agenda prosumerisme ini, semua pihak baik kakitangan akademik, kakitangan pentadbiran mahupun mahasiswa dan mahasiswinya, dianjurkan untuk menjadi penyumbang kepada masyarakat yang proaktif dalam lapangan intelektual, sosial, ekonomi dan pelbagai ruang lingkup kehidupan”, ujarnya lagi.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula pada hari ini sehingga 11 Julai 2021 turut mendapat kerjasama dari Universitas Muhammadiyah Jakarta (UMJ), Universitas Muhammadiyah Yogjakarta (UMY).

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan