KUALA LUMPUR 4 Sept. – Persidangan Kelima Sistem Ekonomi Islam (iECONS) 2013 anjuran Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini turut membincangkan isu berkaitan sistem ekonomi Islam dunia.

Dekannya, Asmaddy Haris berkata, persidangan yang bertemakan Pembangunan Pencapaian Prestasi Melalui Sistem Ekonomi Islam itu dihadiri kira-kira 104 pembentang dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Iran, Arab Saudi dan Algeria.

Menurut beliau, pihaknya meneruskan iECONS 2013 bertujuan untuk melihat sejauh mana hala tuju perkembangan perbankan Islam sepanjang 30 tahun diperkenalkan di Malaysia.

“Para peserta akan menghantar topik berkenaan ekonomi Islam untuk dianalisis dan dinilai oleh pakar kewangan Islam iaitu Dr. Zamil Iqbal sebelum mereka membuat pembentangan kertas kerja masing-masing.

“Antara topik ekonomi akan diketengahkan adalah mengenai kerjasama, peluang dan cabaran dihadapi negara Islam dalam memastikan keseimbangan ekonomi tercapai terutama dalam perbankan Islam,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran buku Celebrating 30 Years of Islamic Banking and Financial Institutions in Malaysia oleh Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Mengulas lanjut mengenai persidangan tersebut, Asmaddy berkata, para peserta juga akan membincangkan penyelidikan teori dan gunaan yang berkaitan dengan sistem ekonomi Islam dari kawasan yang berbeza.

“Ini adalah platform yang baik untuk meneroka dan melaksanakan syariah islamiah dalam ekonomi, perbankan, kewangan dan muamalat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penulis, Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, antara perkara dibincangkan dalam buku terbitan USIM itu adalah mengenai kualiti perkhidmatan ekonomi Islam.

“Kita akan menerangkan bagaimana perkhidmatan halal yang ditawarkan kepada orang ramai melalui sistem ekonomi Islam.

“Dengan kita melihat dari pelbagai perspektif dan menghapuskan salah faham berhubung perkhidmatan atau produk kewangan Islam serta polisi ditawarkan mengikut syarak,” katanya.

Dipetik  dari Utusan Malaysia