NILAI, 22 OGOS 2017 – Bertemakan “Wasatiyyah Approach: Empowering Socio Economic Sector Through Smart Partnership”, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi tuan rumah untuk Persidangan Sosio Ekonomi Islam Antarabangsa yang Pertama (1st IISEC 2017) yang bermula pada 22-23 Ogos 2017 bertempat di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.

Dianggarkan seramai 100 orang peserta hadir dari dalam dan luar negara antaranya dari Pakistan, India, Armenia dan Brunei yang melibatkan dengan empat ucaptama, 50 persembahan kertas kerja, serta forum dan bengkel berkaitan isu-isu sosial ekonomi.

“IISEC diadakan bertujuan untuk menggalakkan penyertaan para ahli akademik dengan komuniti, terutamanya dalam ekonomi sosial serta menekankan pendekatan Wasatiyyah dalam bidang sosial-ekonomi. Ia juga sebagai platform bagi para penyelidik, profesional, individu dan institusi untuk Membincangkan dan menetapkan hala tuju sektor ekonomi sosial di negara ini,” ujar Prof. Madya Dr Roshayani Arshad, Pengerusi Persatuan Ekonomi Keusahawanan Sosial Antarabangsa.

“Selaras dengan indeks prestasi utama (KPI) Kementerian Pelajaran, penganjuran persidangan ini diharap dapat melanjutkan lebih banyak jaringan industri dan penerbitan jurnal berimpak tinggi bagi ahli akademik. Ini juga mendokong aspirasi negara di dalam konteks (i) MYRA, (ii) Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), dan (iii) Pelan Sosial Ekonomi,” tambahnya lagi.

“Ini merupakan satu medium kepada institusi akademik yang berorientasikan penyelidikan dan organisasi berasaskan amalan boleh berkongsi pengalaman mereka, bekerjasama dalam penyelesaian dan mengenal pasti amalan terbaik yang boleh memberi manfaat kepada ummah,” ucap Haji Mohamad Fadzil bin Omar Baki, Timbalan Pengarah (Program & Komunikasi), Institut Wasatiyyah Malaysia semasa ucapan perasmian.

Program yang memperkasakan sektor ekonomi melalui kerjasama pintar ini merupakan anjuran Persatuan Ekonomi Keusahawanan Sosial Antarabangsa (International Association of Social Enterprise Economics-IASEE) dengan rakan kolaborasi bersama Accounting Research Institute (ARI), UiTM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Disediakan oleh:
Dr. Rosninawati Hussin
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan