Jumlah pekerja di Malaysia dianggarkan berkisar antara 2.96 juta hingga 3.26 juta pada tahun 2019. Dari jumlah tersebut, jumlah pekerja asing dianggarkan seramai 1.23 juta hingga 1.46 juta. Keadaan hidup mereka yang sesak dan sempit dengan pengudaraan yang kurang baik, kebersihan yang tidak terjaga, dan akses terhad kepada air bersih; semuanya merupakan unsur pembiakan dan penyebaran penyakit berjangkit. Ini menghalang langkah-langkah peribadi yang perlu diambil untuk mencegah wabak COVID-19 dari merebak di kalangan mereka. Seperti yang telah kita lihat, sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), terdapat peningkatan ketara jumlah kes yang melibatkan pekerja asing.
Berikutan itu, penulis memutuskan untuk mengadakan sesi temu bual di kalangan 30 pekerja asing (76.9% lelaki dan 23.1% wanita) di sekitar Negeri Sembilan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (RMCO) untuk menyelami dan memahami keadaan dan amalan hidup dalam mencegah penularan wabak COVID-19 di kalangan mereka. Pekerja asing tersebut dipilih dari pelbagai industri dan negara asal. Di antara 30 responden tersebut, 26.9% adalah dari Pakistan, 23.1% berasal dari Bangladesh, 15.4% masing-masing adalah Nepal dan Indonesia, 7.7% masing-masing adalah Kemboja dan Myanmar, sementara 3.8% berasal dari Vietnam. Umur mereka pula adalah di antara 23 hingga 46 tahun dan mereka sudah pun berada kira-kira 6 bulan hingga 12 tahun di Malaysia.
Oleh kerana kekangan bahasa, penulis melakukan interaksi bersemuka antara penulis dan responden, di mana kebanyakan dari mereka faham dan mampu berbicara dalam Bahasa Melayu. Ketika ditanya mengenai platform yang paling mudah diakses untuk menerima maklumat mengenai COVID-19, 76.67% dari mereka memilih Facebook, diikuti oleh radio dan televisyen. Dari segi pekerjaan mereka, 66.67% daripadanya bekerja di industri perkhidmatan (pembantu rumah, pengawal keselamatan, pencuci kereta, tukang bersih), sementara 20% bekerja di industri makanan dan 13.33% berkerja di industri pembinaan. Oleh kerana COVID-19, 57.7% dari mereka mengatakan bahawa mereka diberhentikan kerja sementara waktu, manakala 42.3% (kebanyakan dari industri perkhidmatan) mengatakan bahawa mereka masih dipanggil bekerja semasa penularan wabak COVID-19.
Ketika ditanya adakah mereka mengetahui mengenai langkah-langkah pencegahan, seperti mencuci/menyanitasi tangan, memakai topeng muka, dan mengamalkan jarak sosial sejauh satu meter, kesemua mengatakan bahawa mereka dan rakan serumah mereka mengamalkan langkah pencegahan dengan serius kerana mereka tidak mahu jatuh sakit. Malah ada yang mengatakan bahawa mereka sangat mengutamakan kebersihan di mana mereka mempraktiskan untuk mencuci pakaian secara berasingan setelah pulang ke rumah untuk memastikan bahawa mereka tidak menyebarkan virus kepada kawan serumah yang lain. Namun, dari segi jarak sosial, ianya agak sukar untuk dilaksanakan di antara mereka kerana tempat tinggal mereka yang cukup sesak.
Kesemua dari mereka ketika ditemu ramah memakai topeng muka dan mengatakan bahawa mereka juga membawa lebihan penutup muka dengan mereka kemana jua. Ketika ditanya mengenai gaji mereka, 42.3% mengatakan bahawa mereka menerima gaji penuh dari majikan mereka. Namun, seramai 42.3% mengatakan mereka hanya menerima sejumlah dari gaji mereka, sementara 15.4% mengatakan mereka tidak menerima gaji kerana tidak berkerja. Menariknya, sebilangan besar dari mereka yang menerima sejumlah dari gaji atau tidak menerima gaji mengatakan bahawa majikan mereka cukup baik untuk membelikan mereka makanan asas seperti beras, roti, dan lain-lain. Tahniah diucapkan kepada majikan yang bersedia memberi bantuan dalam menjaga kebajikan kakitangan pekerja asing mereka semasa krisis ini.
Ketika ditanya mengenai kenaikan jumlah kes COVID-19 di kalangan pekerja asing, 92.6% dari mereka mengatakan bahawa mereka mengetahui akan hal ini dan telah mengambil langkah pencegahan, seperti tidak melakukan sebarang hubungan dengan mereka yang berada di zon merah dan kuning. Sebilangan dari mereka menyatakan bahawa adalah lebih baik untuk kekal selamat daripada menyesal di kemudian hari. Para responden juga ditanya sama ada mereka takut dan merasa sedih kerana wabak tersebut. Responnya berbeza-beza di antara mereka, di mana 80% dari mereka mengatakan bahawa mereka takut dan bimbang tentang ahli keluarga mereka di negara asal. Malaysia melakukan tugas yang baik dalam menangani krisis ini, tetapi keadaannya berbeza di negara mereka. Penulis masih ingat salah seorang responden mengatakan “Saya tidak takut kerana saya solat lima waktu sehari semalam. Penyakit ini datang dari Allah SWT dengan peringatan yang baik. Teruskan berdoa dan jaga diri anda.”
Di samping itu, penulis juga bertanya adakah responden telah menjalani ujian saringan COVID-19. 40% dari mereka mengatakan bahawa syarikat mereka sudah pun mengaturkan agar mereka menjalani pemeriksaan untuk memastikan mereka sihat sebelum kembali bekerja. Sebaliknya, 33.33% dari mereka mengatakan bahawa mereka telah mengisi borang dan menunggu untuk dipanggil kerana penyaringan dilakukan secara berperingkat. Malangnya, 26.6% daripada mereka mengatakan bahawa mereka tidak merasa perlu untuk menjalani pemeriksaan kerana mereka tidak merasa sakit. Ini menunjukkan kurangnya pengetahuan di kalangan mereka, kerana terdapat juga pesakit COVID-19 yang tidak menunjukkan sebarang gejala. Ketika ditanya lebih lanjut mengenai gejala-gejala tersebut, mereka mengatakan bahawa gejala yang paling biasa adalah demam dan kesukaran bernafas. Mereka juga mengatakan bahawa mereka lebih suka menghindari dari pergi ke hospital atau klinik, kerana mereka takut terkena virus di tempat-tempat tersebut. Pada akhir sesi temu bual, penulis memberikan beberapa nasihat kepada mereka dalam menjaga kesihatan mereka dan mengambil langkah-langkah pencegahan agar tidak dijangkiti oleh COVID-19.