NILAI 31 Jan. –Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan perlu memperluaskan fungsinya sebagai gedung melahirkan tokoh dan pemimpin yang bakal menerajui negara pada masa depan, bukan sahaja sebagai tempat menimba ilmu.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, usaha tersebut penting bagi memastikan generasi muda masa kini mampu menjadi pewaris dalam menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin bidang pentadbiran, akademik, politik, kepimpinan negara, agama mahupun korporat.

“Pembangunan negara memerlukan tokoh yang bijak bukan sahaja tinggi ilmu mereka, tetapi berhemah serta berkeupayaan dalam menghadapi isu termasuk cabaran semasa diperingkat nasional mahupun global”.

“Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dengan kepelbagaian dari segi adat, budaya dan kepercayaan agama. Kepelbagaian ini merupakan satu keunikan dan kekuatan jika ia diuruskan dengan baik” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Majlis Pelancaran Buku Biografi Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin yang bertajuk Dari Sungai Pahang ke Sungai Nil Menongkah Arus Meneraju Menara Gading di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini.

Turut Hadir, Abdul Shukor, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Md. Noor dan pengurusan tertinggi USIM.

Titah baginda, tiada negara lain di dunia ini yang boleh dijadikan model negara majmuk selain Malaysia.

“Maka tidak hairanlah negara-negara Islam di rantau ini mahupun Asia Barat menjadikan Malaysia sebagai model yang boleh dicontohi dari segi pembangunan ekonomi, sains, teknologi  termasuk identiti keislamannya yang mampu dipertahankan sehingga kini” titah baginda.

Justeru, baginda bertitah, IPT yang merupakan kilang kepada pembentukan modal insan perlu bertanggungjawab dalam melahirkan pelapis untuk menggantikan pemimpin masa kini.

“Saya yakin IPT bukan hanya berperanan memindahkan maklumat kepada generasi muda tetapi perlu melihat kejayaan membentuk modal insan yang mampu memnuhi keperluan tempatan dan global’ titah baginda.

Sumber: Utusan Malaysia