KUALA PILAH, 25 April 2017- Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Kepis (Felda) menganjurkan Karnival Eksplorasi Minda bagi meneroka potensi setiap warga Felda dalam usaha melaksanakan tranformasi minda dalam kalangan mereka.
Antara objektif program adalah bagi membantu memberi rangsangan motivasi kepada pelajar sekolah agar berjaya dalam bidang akademik, memperkenalkan Jumaah Profesor dengan pelbagai program komuniti dan sebagai salah satu usaha promosi dan program mengenali USIM.
Penyelaras program, En Mohd Asri Hussain berkata program ini merupakan kunjungan timbal balik selepas SK Kepis (Felda) telah menyertai program Campus Life di USIM tahun lalu selain menjadi tanggungjawab sosial universiti dalam memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.
Seramai 200 pelajar dari umur 6 hingga 12 tahun menyertai program ini. Turut diadakan program selari ibu bapa bersama Jemaah Profesor USIM (JPU), program kenali diri bagi para pelajar tahap 1 & 2 bersama Kelab U-Reka dan & Pusat Tamhidi, pameran Badan Beruniform dikendalikan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) serta Pertandingan Bola Sepak 7-Sebelah bagi golongan belia.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Tuan Haji Kamanizam Tindek turut menyokong usaha USIM dalam menerapkan transformasi minda menerusi pendekatan program akademik yang digagaskan sendiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Datuk Seri Utama Mohammad Hassan bagi merapatkan jurang pendidikan dan sosio kehidupan antara sekolah luar bandar dan bandar,
“Ia bukan hanya warisan tetapi juga pembangunan modal insan seperti berfikir secara matang, melakukan usaha bersungguh-sungguh dan menghargai apa yang ada. Itu pendekatan kita melalui tranformasi minda,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Eksplorasi Minda disini.
Turut hadir Guru Besar SK Kepis (Felda) Encik Arifin Md Yusof dan Pengerusi Jumaah Profesor Prof. Emeritus Dr. Jailani Sukaimi.
Disediakan oleh:
Muhammad Shahrul Naim Mohd Tokiman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204