AJIL– “Tak kenal maka tak cinta” itulah ungkapan yang dizahirkan oleh salah seorang penduduk Kampung Menerong, Ajil Terengganu yang menerima kehadiran mahasiswa Urusetia Kesenian Pelajar, Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam program Khidmat Seni Budaya 1Malaysia (KSB 1Malaysia) pada 1 hingga 5 Julai yang lalu.

Program yang diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Negeri Ajil, YB. Dato’ Haji Rasol bin Wahid merupakan satu program yang membawa keunikan kesenian dan kebudayaan 1Malaysia selain dari pengisian khidmat komuniti.

“Kehadiran pihak USIM sendiri telah membawa perubahan pemikiran masyarakat terhadap kesenian malah dengan berlangsungnya program seperti ini ternyata lebih jelas bahawa Islam dan kesenian itu sendiri tidak boleh dipisahkan” ujar Dato’ Rasol dalam ucapan perasmian beliau.

“Kehadiran mahasiswa dan mahasiswi USIM berjaya membuktikan keberanian dan komitmen mahasiswa  dalam memperkenalkan dan mempertahankan seni tanah air kita.” tambah beliau.

Dato’ Rasol turut menyatakan sokongan dan kegembiraan beliau kepada pihak USIM yang telah menjayakan program KSB 1Malaysia ini. Beliau turut berharap supaya pihak universiti menghidupkan semula tulisan jawi kerana ianya merupakan jalan bagi memperhebatkan jatidiri bangsa Melayu.

KSB 1Malaysia merangkumi pengisian seperti Rakan Seni Budaya, Santai Bersama Masakan ibu, Senam Seni, Tazkirah dan Solat Berjemaah, Karnival Permainan Tradisional, dan Manifestasi Seni. Pendekatan dalam segmen Rakan Seni Budaya dan Manifestasi Seni telah memberi peluang kepada masyarakat setempat khususnya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong dan Sekolah Rendah Menerong mengenali dan mencintai Kesenian 1Malaysia seperti Cak Lempong, Nasyid, Tarian Tradisi Melayu, Perkusi pelbagai kaum, Rampaian Tari Cina, India Etnik Sabah Sarawak, Seni Khat, Kompang, Marhaban dan Seni Lukis.

Program yang disertai seramai 30 orang mahasiswa dan mahasiswi USIM antara lainnya adalah bertujuan untuk memperkenalkan USIM dikalangan masyarakat setempat melalui medium seni budaya dan mengukuhkan ikatan silaturahim sesama penduduk yang agak kurang terdedah kepada kesenian 1Malaysia.

“Kesungguhan yang dipamerkan oleh mahasiswa yang terlibat dalam program ini telah meyakinkan saya bahawa mereka mampu mengorak dan mengukuhkan jatidiri bagi menempuh serta membina kualiti kepimpinan dalam diri mereka.” Ujar YBhg. Profesor  Dato’ Dr. Mohamed Asin bin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM yang turut sama hadir pada majlis perasmian tersebut.

Program Khidmat Seni Budaya 1Malaysia kali ini merupakan penganjuran kali kelima yang diadakan oleh Unit Kebudayaan BHEP USIM yang sebelum ini melibatkan kawasan Kubang Pasu Kedah, Kluang Johor, Kajang Selangor dan Langkawi Kedah.

“Kehadiran anak-anak USIM telah memeriahkan suasana perkampungan ini. Kemesraan jelas terpamer pada setiap raut wajah mahasiswa dan keluarga angkat masing-masing.” kata Encik Zainuddin bin Mohammad, Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Menerong.  Beliau turut menambah kepimpinan Urusetia Kesenian Pelajar USIM jelas seimbang terutamanya dalam aspek  akhlak, rohani dan kecemerlangan seni budaya serta sikap ingin berbakti kepada keluarga angkat masing- masing.

Program perkampungan selama lima hari ini telah berjaya mendedahkan mahasiswa, pelajar sekolah dan masyarakat dalam mengenali, memahami dan mencintai seni budaya khususnya kesenian pelbagai kaum di Malaysia disamping menjadi ikon yang memiliki kualiti yang  holistik kepada warga sarjana dan masyarakat Malaysia.

Oleh:
EB Noha Arshad & EB Suhaila Said