NILAI, 1 Julai 2014 – Kedatangan bulan Ramadan kali ini turut membawa khabar gembira kepada warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila projek pembangunan Kompleks Pusat Islam USIM disambung semula pembinaannya yang terhenti sejak tahun 2002 atas faktor kekangan peruntukan kewangan Kerajaan ketika itu.

Kompleks Pusat Islam seluas 6500 meter persegi akan menempatkan sebuah masjid yang mampu menampung kapasiti jemaah seramai 4000 orang dengan memiliki ruang solat dua tingkat, bilik pengurusan jenazah, pejabat pentadbiran dan beberapa kemudahan lain untuk merancakkan aktiviti dan agenda Islam di dalam kampus dan masyarakat Islam sekitarnya.

Menelan kos pembinaan sebanyak RM 20 juta menggunakan peruntukan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Pusat, projek pembinaan Pusat Islam USIM telah memulakan kerja tanah pada 2 Jun lalu dan dijangka siap pada Februari 2016 dengan tempoh pembinaan memakan masa 20 bulan oleh syarikat kontraktor yang telah dilantik.

Satu majlis ringkas tetapi amat bersejarah iaitu Majlis Pengesahan Semula Arah Kiblat Pusat Islam USIM telah diadakan pada hari ini anjuran Pusat Islam USIM dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Sembilan yang diketuai oleh Ustaz Rashidi Isa, Pegawai Pejabat Mufti Negeri Sembilan. Menurut Dr. Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Pengarah Pusat Islam USIM, secara prosedurnya sebarang projek pembinaan masjid yang terhenti melebihi tempoh dua tahun perlu untuk dibuat pengesahan semula arah kiblatnya oleh Pejabat Mufti dan prosedur ini tidak mengambil masa yang lama.

“Sesungguhnya pembinaan Pusat Islam ini amat ditunggu-tunggu oleh warga USIM. Lokasinya semasa perancangan pembinaan kampus dahulu kita letakkan pada kedudukan yang strategik iaitu diantara Bangunan Canselori dan Perpustakaan.”

“Kedudukannya membawa perlambangan yang unik kepada USIM sebagai sebuah Universiti berteraskan Pendidikan Islam. Ini keranan elemen pentadbiran (Canselori), Keilmuan (Perpustakaan) dan Keimanan (Pusat Islam) perlu sentiasa dibawa bersama untuk menjayakan falsafah, misi dan visi penubuhan USIM,” ucap Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan menjalankan tugas Naib Canselor USIM ketika ini.

Majlis ini turut dihadiri Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pengurusan Kanan Universiti, kakitangan Pejabat Mufti Negeri Sembilan dan warga USIM. Bagi memberi kemudahan kepada warga USIM menunaikan solat Jumaat, pada Oktober 2010, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah memberi kebenaran kepada Surau Kolej Kediaman 1 (KK1) USIM untuk menjadi surau menunaikan Solat Jumaat sehingga kini.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm