NILAI, 15 MEI 2015 – Dengan mendapat ulasan terbaik daripada barisan juri yang hebat iaitu Fauzi Marzuki, komposer terkenal juga Dr. Ahmad Faizan yang didatangkan khas untuk menilai keberkesanan aktiviti budaya ini dan juga menilai tahap kreativiti yang dilontarkan pelajar dari hasil kesenian mereka, kumpulan kesenian Dikir Barat Tabuh Pendeta telah berjaya merangkul gelaran juara sekali gus membawa pulang trofi emas utama dalam majlis Anugerah Seni USIM yang menjadi malam penutup kepada Festival Seni USIM 2015 baru-baru ini.

Mengangkat tema dakwah dalam seni, kumpulan dikir barat tabuh pendeta membawakan keunikan dari segi penyampaian dan aksi dikir barat yang menarik selain mesej ketuhanan yang mendalam dan sejarah perjuangan Rasulullah dalam berdakwah di dalam lirik lagu-lagu nyanyian dan bait-bait ‘karutan’ mereka.

Seiring dengan pengintegrasian ilmu aqli dan naqli, tabuh pendeta dilihat lebih menekankan tema berunsur islamik yang  memberi pendekatan dengan mengetengahkan pelbagai bahasa seperti bahasa Mandarin dan bahasa Tamil bagi memberi pemahaman selain melakukan tugas hakiki dalam menghiburkan penonton.

Wakil dari kumpulan Tabuh Pendeta iaitu Saudara Mokhtarudin bin Ismail yang juga merupakan tukang karut bagi kumpulan tersebut menyatakan perasaan terkejut kerana mereka semua tidak menjangkakan kemenangan mereka pada malam itu dek ramai kumpulan seni yang membawakan persembahan yang lebih hebat.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga merupakan pelajar tahun akhir Quran dan Multimedia itu sangat bersyukur di atas kemenangan yang tidak disangka-sangka itu. Kumpulan Tabuh Pendeta turut membawa pulang wang berjumlah RM 1 000, hamper juga sijil bersama trofi iringan.

Secara ringkasnya, Tabuh Pendeta yang merupakan singkatan kepada Tarikan Budaya melalui Pendekatan Ta’abbuddiyyah yang dianggotai oleh 20 orang ahli ini juga telah berjaya membawa dikir barat USIM ini ke peringkat seterusnya di mana mereka juga berpengalaman melibatkan diri di dalam rancangan televisyen seperti Rasul Yang Kata di TV9, Karoot Komedia X, Maharaja Lawak Mega,  Malaysia Hari ini dan pelbagai rancangan televisyen yang melibatkan seni dikir ini.

Kumpulan Tabuh Pendeta yang juga telah menjuarai Pertandingan Dikir Barat antara IPT 2015 yang berlangsung di UPSI baru-baru ini juga menyuarakan harapan mereka melalui wakil Tabuh Pendeta supaya kumpulan ini lebih maju dan meningkat naik di masa hadapan dan dapat melahirkan karya seni seiring dengan dakwah Islam.

Malam Anugerah Seni USIM

Seni yang bermanfaat bukan lahir dari hiburan kosong semata sebaliknya harus padat dengan mesej kerohanian serta berlandaskan syariat Islam. Aktiviti seni berbentuk islamik merupakan satu wadah dakwah yang kian aktif di masa kini. Tidak dinafikan juga bahawa sayap dakwah boleh dilebarkan melalui seni. Lantaran itu, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM telah menganjurkan festival seni Universiti Sains Islam Malaysia (I-FESSEM15) pada Jumaat, 15 Mei 2015 bertempat di Dewan Besar, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

Tidak terhad kepada pelajar USIM sahaja, orang awam dari seluruh pelosok negara juga telah hadir bagi memeriahkan lagi festival seni ini.

Berpegang kepada moto mengangkasa seni berbudaya, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia membawakan kepada umum Festival Seni USIM yang juga dikenali sebagai i-Fessem 2015 dan kali ini merupakan kali kedua majlis gilang-gemilang ini diadakan bagi mengetengahkan bakat-bakat terpendam para pelajar USIM dalam pelbagai bidang seni.

Membuka tirai pada 15 Mei dan berakhir dengan Majlis Anugerah Seni USIM pada malam 16 Mei 2015, i-Fessem 2015 mengangkat seni yang berbudaya sebagai kayu ukur bagi melahirkan para karyawan seni yang menjaga syariat dalam mengekspresi seni yang semakin suram dalam kalangan pelajar.

Membawa tema ‘Royal and Glitter’, malam penutup Festival Seni USIM 2015 iaitu malam Anugerah Seni USIM menjadi malam gilang-gemilang dan juga malam yang tidak dapat dilupakan bagi para pelajar yang terlibat menjayakan i-Fessem ini. Kumpulan-kumpulan pelajar yang terlibat mempertaruhkan seni mereka bagi dinilai oleh juri professional ini dilihat begitu gemuruh dalam menantikan keputusan yang dilontarkan oleh dua pengacara yang juga terdiri daripada pelajar pada malam tersebut.

Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah yang juga ditemui di majlis tersebut turut berkata,  “Acara ini telah membuktikan kemampuan pelajar USIM dalam mengenengahkan aktiviti kesenian dan kebudayaan”.

Beliau juga berharap agar USIM dapat menjadi peneraju seni bercorak Islami dan menjadi rujukan masyarakat dan institusi lain untuk sebarang aktiviti kesenian selaras dengan syariat.

Sementara itu, pengarah program i-Fessem Saudara Mohamad Aizat bin Mohamad Sani berkata, “Keberkesanan dakwah dalam seni yang diterapkan adalah bergantung kepada input yang diterima oleh individu dimana 3 elemen dakwah dalam seni telah diterapkan iaitu dekat dengan pencipta, menyeimbangkan duniawi dan ukhrawi juga untuk meningkatkan ketajaman pemikiran”.

Jelas beliau juga, “i-Fessem merupakan wadah untuk berkongsi ilmu dan kemahiran dakwah dalam seni”.

Anugerah Seni USIM telah membuktikan bahawa seni berbudaya bukanlah hanya sesuatu yang dianggap picisan malah seni yang dipamerkan boleh terus ke hadapan dan membina nama yang gah dalam industri seni tanah air satu hari nanti.

Disediakan oleh:

Ejen Berita (EB Nur Afiradina Arshad)

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204