NILAI, 28 Mac 2018 – Bagi meraikan golongan OKU Pekak mempelajari ilmu agama, Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) diperkenal bagi membantu mereka mempelajari bacaan ayat Al quran khususnya. Majlis perasmian Kursus Dakwah Tanpa Suara ini dirasmikan oleh Timbalan Dekan Pembangunan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Dr Rabiatul Adawiyah Mohd.

Menurut Dr Rabiatul Adawiyah Mohd, pendekatan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa perlu disemai dan diperkasa ke arah melahirkan graduan yang holistik melalui acuan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli khususnya dalam mendepani isu-isu kemasyarakatan. Kursus Dakwah Tanpa Suara ini mensasarkan penyertaan dari seluruh Mahasiswa USIM dan orang awam sekitar Nilai dengan menjadikan Universiti sebagai platform sebagai salah satu usaha strategik dalam membudayakan warga OKU dengan sesebuah institusi. Secara tidak langsung ia turut memberi ruang dan peluang kepada para peserta mempelajari bahasa isyarat Malaysia (BIM) dalam menyampaikan dakwah kepada golongan orang kelainan upaya.

“Kursus ini juga dijangka akan membuka mata dan hati mahasiswa tentang tanggungjawab fardhu kifayah dalam mendidik dan melatih golongan OKU dalam menjalani kehidupan berteraskan Quran dan Sunnah”, tambah beliau.

Manakala Puan Sariah Ibrahim, Presiden Persatuan Orang-Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) berkata, usaha dakwah ini harus dicontohi dan diambil perhatian oleh semua masyarakat di luar sana kerana golongan OKU pendengaran ini sangat memerlukan ilmu agama.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi dan sanggup belajar kursus ini bagi menyampaikan dakwah kepada komuniti pekak ini.

Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) merupakan modul khusus yang dibangunkan Yayasan FAQEH bagi melatih „Daie Pekak‟ dalam kalangan mahasiswa pengajian Islam kemahiran berdakwah menggunakan medium komunikasi OKU Pekak. KDTS yang ditawarkan secara terbuka sepanjang satu semester bermula pada tahun 2015 dan dibahagikan kepada dua tahap.

Tahap I merupakan peringkat asas pendedahan terhadap dunia golongan Pekak (budaya dan bahasa), latihan asas kaedah pengajaran menghafaz Quran bagi OKU Pekak melalui kaedah Tahfiz Akhyar dan Penulis Wahyu, dan pengajaran asas membaca Quran menggunakan kod tangan berbantukan butang nombor dan warna melalui Kaedah Fakih. Manakala tahap II banyak menfokuskan kemahiran berinteraksi bersama OKU Pekak secara latih tubi dan tugasan”.

Muhammad Zainul Abidin Mohamed Tahir, Pengerusi Sekretariat Sahabat Faqeh USIM berkata, beberapa siri program unik telah dianjurkan bagi menyemarakkan usaha memberi ruang dan peluang OKU dididik menerima agama bersesuaian dengan kekuatan dan kelainan upaya belajar mereka, antaranya program OKU Berdoa, Kelab Nasyid Tanpa Suara, Jom Dhuha bersama anak istimewa, Kem Huffaz Remaja Pekak dan Pameran Kesedaran Mahasiswa Cakna OKU.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ustaz Hj. Norakyairee Md Raus, Ketua Kluster  Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Tuan Haji Zaini Mat Abbas Pengerusi Yayasan FAQEH.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204