NILAI, 6 Oktober 2018 – Mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Enactus dan projek-projek yang dijalankan dalam Enactus USIM kepada ahli baru, Sekretariat Enactus USIM sesi 2018/2019 yang diketuai oleh saudari Norizan Miswadi dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama telah mengadakan satu program iaitu “LEARNING AND EXCHANGE IDEAS ENACTUS USIM 2018 ” pada 6 Oktober 2018 bermula pada jam 8.00 pagi di Galeri Hal Ehwal Pelajar USIM.

Program ini telah dianjurkan oleh Sekretariat Enactus USIM sesi 2018/2019 dengan kerjasama daripada Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) dan Alumni Enactus USIM yang terdahulu. Program seperti ini disokong oleh Dr. Mohd Shukor Bin Harun, Penasihat Enactus USIM dan Dr. Muhamad Azrin Bin Nazri, Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) merangkap penyelaras Enactus USIM. Dalam program ini juga, Saudara Aiman Bin Ahmad, Mantan Presiden Enactus USIM sesi 2014/2015 telah dijemput untuk berkongi  serba sedikit tentang pengalamanya dalam mentadbir Enactus USIM sebelum ini. Malah, beliau juga memberikan beberapa tip yang bermanfaat dalam mengelolakan sebuah organsasi yang sangat mantap.

 Antara objektif utama program ialah memberi pendedahan awal kepada ahli baru tentang kelab Enactus dan membolehkan peserta membina hubungan baik antara satu sama lain seterusnya mampu untuk bekerja secara efektif demi mencapai satu matlamat yang ingin dicapai dalam Enactus USIM. Selain itu, program ini dijalankan bagi menerapkan nilai kepimpinan kepada ahli lama amnya dan ahli baru khususnya dalam mempraktikkan cara kepimpinan yang tepat bagi memudahkan proses gerak kerja dalam Enactus USIM.

Program ini amatlah penting bagi Enactus USIM bagi memupuk nilai kerjasama dan toleransi yang kuat lagi utuh dalam kerja berpasukan untuk menjayakan lagi misi Enactus USIM dalam membantu golongan sasaran dimana mereka merupakan komuniti sosial yang memerlukan bantuan dan sokongan masyarakat terutamanya barisan pelajar-pelajar dan generasi muda dalam membangunkan taraf hidup masyarakat dan ekonomi Negara seterusnya melaksanakan visi dan misi Universiti Sains Islam Malaysia iaitu menerapkan ilmu integrasi Naqli dan Aqli dalam kehidupan. Sekretariat Enactus USIM berharap agar semua peserta dapat mengambil input-input yang baik dalam program yang dijalankan dan dapat memanfaatkannya pada masa akan datang.

Setakat ini Enactus mempunyai keahlian seramai 54 orang dan menjalankan lima buah projek seperti Black Gold, Tiffin Unni, Nutrilize, dan Phat. Misi Enactus USIM ialah membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dengan menjadikan mereka sebagai golongan sasaran Enactus USIM dengan menggunakan inovasi dan prinsip perniagaan dalam dunia keusahawanan khususnya. Penyertaan untuk Kelab Enactus USIM masih dibuka dan kami mengalu-alukan penyertaan daripada para pelajar tahun satu sehingga tahun tiga khususnya.

Disediakan oleh:

LIYANA BINTI ROSMAN
Unit Publisiti,
Enactus Universiti Sains Islam Malaysia