NILAI, 22 Disember 2020 – Membaca itu Jambatan Ilmu, itu adalah peribahasa yang diajarkan kepada kita seawal zaman persekolahan lagi, dan sering kali dipamerkan di dinding-dinding sekolah. Amalan membaca dapat membantu kita menambah ilmu pengetahuan, jika kita rajin membaca, maka bertambahlah pengetahuan kita. Bersempena Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) tahun 2020, Program Pembacaan Persatuan Pustakawan Malaysia telah mengaturkan beberapa aktiviti bermula 2 sehingga 31 Disember dengan libatsama IPTA dan agensi korporat.

Di peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diterajui oleh Jabatan Perpustakaan telah menganjurkan Program Lets Talk: Anda Membaca? yang bersiaran secara langsung melalui platform Facebook USIM TV.

Program yang berlangsung selama dua jam itu menampilkan tiga panel iaitu Puan Nor Azzah Momin, Ketua Pustakawan USIM, Puan Rozana Kamdani Pustakawan Kanan, Encik Ahmad Yazid Ahmad @ Abdul Rahman Pustakawan Kanan. Tiga segmen menarik yang dibincangkan bertajuk “Minat Membaca dan Perpustakaan Keluarga”, “Little Free Library” dan “Bacaan Pantas / Speed Reading”.

Menurut Puan Azzah Momin, bagi tahun 2019, perpustakaan Negara  Malaysia telah mendaftarkan sebanyak 18, 566 judul buku baharu. Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2014 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 hingga 20 buku setahun. Namun jumlah sepatutnya bagi 31.7 juta rakyat Malaysia, dan kadar literasi 93.7%, rakyat Malaysia seharusnya membaca sebanyak 30 buah buku setahun.

“Tahun 2020 ini merupakan tahun kuarantinkan diri di rumah, maka tidak ada alasan lagi untuk rakyat Malaysia untuk tidak membaca buku. Banyak bahan online sama ada disediakan oleh Perpustakaan Negara dan banyak pihak. Untuk tahun 2021-2030 rakyat Malaysia disasarkan untuk menjadi penduduk dunia yang paling banyak membaca dari penduduk negara lain. Kajian menunjukkan penduduk India ditempat teratas iaitu membaca selama 10 jam seminggu”.

Perkongsian oleh Encik Ahmad Yazid Ahmad@Abdul Rahman, Pustakawan Kanan mengenai teknik bacaan pantas, beliau mengatakan sukar untuk menumpukan perhatian apabila pembacaan lebih perlahan daripada kelajuan sebenar yang boleh dicapai oleh akal anda. Konsentrasi bukanlah masalah, masalah utama adalah membaca pada kepantasan yang tidak sepatutnya.

“Selepas latihan yang betul, pembaca pantas yang efisien dan efektif mampu untuk membaca beberapa perkataan sekaligus. Hasilnya mata anda sebenarnya berupaya untuk melihat dan menjangkau beberapa perkataan dengan sekali pandang untuk menjadikan anda pembaca pantas” ujar beliau lagi.

Manakala Puan Rozana Kamdani Pustakawan Kanan berkongsikan mengenai Little Free Library (LFL). LFL membawa maksud “take a book, leave a book, no due dates, no late fees, no library cards required, the doors are open every day of the week, twenty-four hours a day”. LFL merupakan mini library yang menempatkan buku-buku dan bahan bacaan untuk sesiapa sahaja boleh menggunakannya. Antara lokasi LFL di Malaysia adalah di rumah sendiri, pejabat, universiti, sekolah, tadika dan pusat kegiatan guru.

“Secara keseluruhannya ada lebih kurang 30 LFL yang didaftarkan di Malaysia. Di USIM terdapat 9 LFL yang telah ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu, dan sambutan amat menggalakkan dari kalangan warga USIM khususnya”, ujar Puan Rozana.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan