NILAI, 9 Disember 2019 – Seramai 162 anak-anak negeri sembilan yang baru mendaftarkan pengajian bagi sesi akademik 2019/2020 menerima sumbangan bersempena Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan Dan Ramah Mesra YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Bersama Anak Negeri Sembilan Dan Majlis Perwakilan Pelajar yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM.
Naib Canselor USIM Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berbesar hati dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun Menteri Besar Negeri Sembilan ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sudi menyampaikan sendiri sumbangan dari Kerajaan Negeri Sembilan kepada USIM.
Menurut Prof Ridza lagi, USIM dan kesukarelawanan adalah seperti aur dengan tebing, tidak dapat dipisahkan hingga seolah-olah ia merupakan DNA kepada USIM sendiri. Sebagai bukti, sepanjang tahun 2019 sejumlah 167 aktiviti kesukarelawanan telah terlaksana sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. USIM juga fokus menganjurkan projek khas yang bertumpu di Negeri Sembilan iaitu Jelajah Sukarelawan USIM dan Projek Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji Anak Baik Lagi Cerdik (PROCAST ABC).
Dalam ucapan YAB Menteri, kerajaan Negeri Sembilan sangat berbangga dan berterima kasih kepada USIM atas sumbangan yang telah diberikan sepanjang tahun 2019 yang dilihat sangat besar impaknya kepada masyarakat di Negeri Sembilan khususnya. Projek Jelajah Sukarelawan, Global Islamic Students Outreach (GISO) dan Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji Anak Baik Lagi Cerdik (PROCAST ABC) nyata memberikan kesan yang tersendiri kepada masyarakat Negeri Sembilan khususnya.
“Kerajaan Negeri Sembilan sangat berbesar hati untuk menyalurkan sejumlah sumbangan kepada USIM dalam usaha menjayakan agenda kesukarelawanan seperti yang digariskan oleh YBhg Naib Canselor. Kerajaan Negeri amat berbesar hati dengan kewujudan dan keberadaan Kampus Utama USIM di Bandar Baru Nilai kerana membuka ruang dan peluang kepada pembangunan dan kemajuan yang bernilai tinggi kepada masyarakat setempat khususnya Nilai, serta Negeri Sembilan amnya”.
“Justeru, kerajaan Negeri Sembilan berbesar hati menyumbang sebanyak RM350,000.00 untuk diagihkan kepada projek-projek yang telah dinyatakan tadi iaitu sejumlah RM150,000.00 untuk projek Jelajah Sukarelawan USIM, RM80,000.00 untuk Projek Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji Anak Baik Lagi Cerdik (PROCAST ABC), RM50,000.00 lagi diperuntukkan untuk projek Global Islamic Students Outreach (GISO), RM20,000.00 untuk projek baharu iaitu Projek Sekolahku Universitiku (SekolahKU) dan baki RM50,000.00 lagi disalurkan kepada projek pengantarabangsaan selain daripada GISO”, tambah YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.
Turut hadir ke majlis ini Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan